Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, Brunei sahkan lagi komitmen dalam perkukuh hubungan dua hala
S’pura, Brunei sahkan lagi komitmen dalam perkukuh hubungan dua hala
Singapura dan Brunei mengesahkan semula komitmen untuk memperkukuhkan hubungan dua hala yang istimewa antara kedua-dua negara, terutama dengan kededua negara bakal menyambut ulang tahun ke-60 Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang pada 2027.
Ini menyusuli pertemuan Putera Mahkota Brunei yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Putera Al-Muhtadee Billah, dengan pemimpin Singapura di Istana pada 29 September, kata kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 29 September.
Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang yang dimeterai pada 1967 membolehkan kededua negara menerima wang kertas dan syiling mata wang satu sama lain, dan menukarnya kepada mata wang sendiri pada nilai yang sama dan tanpa bayaran.
Menurut MFA, Putera Al-Muhtadee Billah dihoskan dalam sesi minum teh oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam; bertemu Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong; dan dihoskan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dalam jamuan makan tengah hari pada 29 September.
Kementerian itu menambah, Putera Mahkota Brunei mengadakan perbincangan meluas dengan pemimpin Singapura dalam pertemuan tersebut.
Ia meliputi perkembangan sejagat yang menjadi kepentingan bersama Singapura dan Brunei.
Mereka saling bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh lagi kerjasama dua hala dalam bidang-bidang kepentingan bersama yang boleh mewujudkan peluang bagi perniagaan dan rakyat antara kedua-dua negara, kata MFA.
Putera Al-Muhtadee Billah mengadakan lawatan rasmi ke Singapura dari 28 September hingga 2 Oktober atas undangan Encik Wong, dengan kedua-dua pemimpin mempengerusikan secara bersama Program Pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei yang ke-12 – edisi kali ini diadakan di sini.
Sejak dilancarkan pada 2013, YLP telah mengukuhkan hubungan peribadi antara Brunei dengan Singapura, khususnya antara pemimpin generasi muda.
Sempena lawatannya ke sini, Putera Al-Muhtadee Billah, turut mengunjungi Pelabuhan Tuas pada 28 September.
Beliau dijangka mengadakan lawatan ke Bandar Safti, Masjid Sultan, Taman Warisan Melayu (MHC) dan Singapore Oceanarium di Sentosa, kata MFA.