Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan rakan sejawatannya dari Canada, Encik Mark Carney, meraikan 60 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara semasa lawatan Encik Carney ke Singapura, sambil menegaskan komitmen mereka terhadap perdagangan bebas.
Semasa bersarapan di Istana pada 29 Oktober, mereka membincangkan cara untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan pelaburan, serta peluang kerjasama dalam teknologi, tenaga dan keselamatan siber, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Kededua pemimpin menekankan pandangan negara mereka mengenai perdagangan bebas dan pelaburan, serta komitmen terhadap multilateralisme dan undang-undang antarabangsa, lapor The Straits Times (ST).
Dalam satu hantaran di Facebook, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau telah mengenali Encik Carney daripada peranan beliau sebelum ini dan mengalu-alukan lawatan pertama beliau ke Singapura sebagai Perdana Menteri.
Beliau mengalu-alukan keinginan Canada untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi dengan Asean dan mengusahakan Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) dengan negara-negara serantau Asia Tenggara itu.
“Saya juga gembira Encik Carney berpeluang berhubung dengan syarikat-syarikat di sini, meneroka peluang perdagangan dan pelaburan yang akan memberi manfaat kepada rakyat Canada dan Singapura,” tambahnya.
Dalam satu hantaran di Facebook, Encik Carney, bekas gabenor bank pusat Canada, berkata perniagaan di Singapura melabur hampir C$8 bilion ($7.4 bilion) di Canada pada 2024, dan menyatakan hasrat untuk menarik lebih banyak pelaburan.
Sebelum lawatan kerja dua hari ke Singapura pada 28 dan 29 Oktober, Encik Carney berada di Malaysia untuk Sidang Kemuncak Asean.
Beliau akan menghadiri forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Korea Selatan minggu ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg