Singapura dan China perlu memperdalam kerjasama serta memperkukuh kepimpinan yang dipercayai untuk menghadapi tempoh perubahan sejagat yang ketara.
Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, menekankan bahawa persaingan geopolitik, gangguan teknologi yang pesat dan aspirasi masyarakat yang pelbagai merupakan antara cabaran utama era masa kini.
Beliau berkata demikian di Forum Kepimpinan Singapura-China ke-10 pada 18 November, yang bertepatan dengan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara dua negara.
Menurut Encik Chan, dunia hari ini berada pada ‘titik perubahan’.
Ia menghadapi cabaran yang membentuk semula cara negara mengurus, berkembang dan hidup bersama.
“Kita mesti membina asas kerjasama untuk membentuk trend, merebut peluang dan membuka laluan baru untuk maju,” kata Encik Chan.
Antara cabaran yang dihadapi ialah persaingan geopolitik yang semakin sengit serta kekurangan keyakinan terhadap institusi yang telah menjadi tonggak utama global selama beberapa dekad.
Menurut Encik Chan, badan seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) kian dilihat sebagai tidak berkesan, ketinggalan zaman atau tidak relevan, dengan konflik yang memintas Majlis Keselamatan PBB dan pertikaian perdagangan yang mengelak daripada peraturan WTO.
Beliau berkata apabila perjanjian iklim tidak dikuatkuasakan dan rangka kerja pelbagai hala dipersoal, orang ramai hilang keyakinan bukan sahaja terhadap institusi itu sendiri, bahkan juga terhadap konsep bahawa negara-negara boleh bekerjasama bagi menyelesaikan masalah.
“Bahaya bukan sahaja terletak pada persaingan antara negara, bahkan pada pengabaian sepenuhnya terhadap rangka kerja bersama,” ujar Encik Chan.
“Apabila negara berundur untuk menjaga kepentingan masing-masing, apabila rantaian bekalan dijadikan senjata dan apabila kerjasama menjadi mangsa persaingan – kita semua akan rugi.”
Beliau menambah, pemimpin sejati memahami kemenangan jangka pendek yang diperoleh dengan mengorbankan kepercayaan jangka panjang yang akhirnya membawa kepada kekalahan.
Dalam konteks ini, negara perlu menahan diri daripada tergoda untuk berundur dan menjaga kepentingan sendiri atau mengejar kemenangan pantas yang menghakis kepercayaan jangka panjang.
Justeru itu, Encik Chan menekankan bahawa Singapura dan China harus terus mencari titik persamaan serta memastikan masyarakat dan ekonomi mereka terbuka untuk kerjasama dengan rakan dari pelbagai negara.
Ini dilakukan di bawah rangka kerja pelbagai hala bertepatan dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.
Encik Chan menyeru supaya kedua-dua negara meningkatkan rundingan dan kerjasama, sambil berkata melalui usaha sedemikian, kedua-dua pihak dapat bersama-sama mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau serta mengukuhkan daya tahan tadbir urus sejagat.
Selain itu, gangguan teknologi merupakan satu lagi perubahan besar, kata Encik Chan, dengan kemajuan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), data besar, teknologi kuantum dan 5G yang mengubah industri dengan “kelajuan luar biasa”.
Teknologi baru membuka peluang dalam pengeluaran, proses membuat keputusan dan inovasi, namun turut menimbulkan cabaran seperti penyepaduan sistem, keselamatan data, etika dan pembangunan bakat.
Encik Chan turut berkata Singapura dan China kini perlu mempergiat usaha bagi memperkukuh penyelidikan dan pembangunan, menyelaraskan piawaian, membimbing dasar, serta membangunkan bakat supaya inovasi kekal berdaya tahan.
“Kita juga boleh bekerjasama untuk membangunkan garis panduan bagi memastikan teknologi baru, seperti AI, benar-benar berkhidmat dan melengkapkan usaha manusia, sambil memberi keyakinan kepada rakyat bahawa semua orang dapat menyesuaikan diri dan memperoleh manfaat daripada pembangunan ini,” kata Encik Chan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg