SINGAPURA dan Guangdong memperbaharui dan mengembangkan perkongsian perniagaan mereka pada mesyuarat Majlis Kerjasama Singapura-Guangdong ke-13 pada Isnin (26 Jun), dengan lebih 20 memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani antara badan awam dan swasta.
Selain memperdalam kerjasama sedia ada, Singapura dan Guangdong akan meneroka kerjasama dalam tiga bidang baharu.
Ini termasuk kemampanan dan ekonomi hijau; ekonomi digital dan bandar pintar; dan kesihatan dan bioperubatan.
Menurut laporan The Business Times, ini adalah di bawah MOU untuk Kerjasama Dipertingkat dan Pembaharuan Majlis Kerjasama Singapura-Guangdong yang ditandatangani pada Isnin oleh Menteri Kesihatan Singapura, Encik Ong Ye Kung, dan Gabenor Guangdong, Encik Wang Weizhong, yang mempengerusikan bersama majlis itu.
Encik Ong berkata kerjasama itu meliputi bidang utama yang dibincangkan semasa lawatan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ke China pada Mac, apabila kedua-dua negara meningkatkan hubungan dua hala.
Beliau menambah bahawa perkongsian yang dinaik taraf itu akan membimbing kerjasama yang diperluaskan dalam “kawasan yang berpandangan ke hadapan dengan potensi masa depan yang besar” seperti kewangan, kesihatan dan digital dan ekonomi hijau.
Encik Wang menjemput Singapura untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan Greater Bay Area, termasuk zon khas Hengqin di Zhuhai, Qianhai di Shenzhen dan Nansha di Guangzhou.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg