Singapura menduduki tempat kedua dalam kesediaan kecerdasan buatan (AI) di seluruh dunia.
Demikian menurut kajian yang dikeluarkan oleh syarikat sofwe, Salesforce, pada 31 Julai.
Indeks Kesediaan AI Sejagat menilai ciri itu berdasarkan lima dimensi berkaitan teknologi tersebut seperti tadbir urus, penyebaran, inovasi, pelaburan dan bakat.
Penunjuk itu menawarkan “rangka kerja menyeluruh bagi memahami sejauh manakah negara-negara bersedia memanfaatkan AI agentic dan memanfaatkan tenaga kerja digital untuk membuka peluang pertumbuhan, impak dan kecekapan lebih besar,” kata Salesforce.
AI agentic ialah sistem AI yang direka untuk beroperasi secara sendiri.
Salesforce menjalankan kajian di 16 pasaran di mana ia beroperasi dengan Amerika Syarikat menduduki tempat pertama dengan skor indeks 39.7 daripada 50, lapor The Business Times (BT).
Singapura berada di tempat kedua dengan skor 26.5, mengatasi United Kingdom (UK) yang memperoleh skor 25.8.
Skor purata sejagat adalah 22.1.
Keputusan itu mengesahkan kedudukan Singapura sebagai pemimpin sejagat dalam AI, dan membuktikan keberkesanan Strategi AI Negara 2.0 yang dilancarkan pada 2023, kata Salesforce.
Secara serantau, Singapura mengekalkan kedudukan teratas dalam Indeks Kesediaan AI Asia-Pasifik, yang diperluas untuk membentuk indeks sejagat.
Semasa Belanjawan pada Februari, Singapura mengumumkan $150 juta akan diperuntuk bagi Inisiatif Pengkomputeran Perusahaan (ECI).
Ini akan membolehkan perniagaan yang layak untuk bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan awan utama dan mengakses alat AI serta kuasa pengkomputeran.
Pada 2024, Singapura turut menyatakan ia akan melabur $1 bilion dalam pembangunan AI selama lima tahun.
Kajian terkini oleh bank Morgan Stanley menunjukkan Singapura boleh mengekalkan kadar pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebanyak 3 peratus, berdasar peningkatan produktiviti daripada alat AI.
Bank itu mencatatkan bahawa Singapura mempunyai lebih 80 fakulti penyelidikan AI aktif, 150 pasukan penyelidikan dan pengembangan (R&D) produk AI, dan lebih 1,000 syarikat permulaan AI.
Menurut kajian Salesforce, Singapura menduduki tempat pertama dalam kesediaan peraturan dan penerimaan AI; kedua dalam persekitaran pelaburan; dan ketiga dalam pembangunan bakat.
Laporan itu mencatatkan “peluang untuk pelaburan lanjut bagi meningkatkan keupayaan inovasinya”, selain menambah bahawa Singapura memperoleh skor di bawah purata sejagat berhubung keupayaan inovasi AI.
Ia juga menyatakan bahawa Singapura boleh memperluas inovasinya, bukan sahaja dalam bidang yang terhad, bahkan juga merangkumi AI agentic, iaitu sistem yang beroperasi secara autonomi untuk mencapai matlamat dengan sedikit campur tangan manusia.
Satu tinjauan sejagat melibatkan 200 eksekutif sumber manusia, yang diterbitkan oleh Salesforce pada Mei 2025, mendapati pelaksanaan penuh AI agentic boleh meningkatkan produktiviti purata pekerja sebanyak 30 peratus.
Salesforce menawarkan Agentforce, produk AI utama mereka, yang boleh membantu mengatasi masalah tenaga kerja Singapura akibat penduduk kian menua dan kadar kelahiran yang rendah.
“Ini boleh meningkatkan produktiviti pasaran buruh dengan ketara,” tambah syarikat itu.
Pada Mei, Salesforce mengumumkan kerjasama dengan Singapore Airlines (SIA) untuk membangunkan penyelesaian AI sebagai sebahagian daripada pelaburan AS$1 bilion ($1.29 bilion) di Singapura bagi meningkatkan penyelidikan AI, pembangunan bakat dan prasarana.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg