Singapura dan Fiji telah melahirkan komitmen terhadap kerjasama dua hala bagi perdagangan, pelaburan dan ketersambungan.
Kededua negara juga telah bersetuju meningkatkan kerjasama dalam ketahanan iklim dan pembangunan modal insan.
Demikian dikatakan Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, semasa berucap di majlis jamuan tengah hari meraikan Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Luar Republik Fiji, Encik Sitiveni Rabuka.
Acara tersebut diadakan pada 22 April, di Bangunan Parlimen, semasa lawatan rasmi Encik Rabuka ke Singapura, dengan sambutan penuh istiadat.
Encik Wong berkata: “Sebagai Negara Membangun bagi Pulau Kecil (SIDS), Singapura dan Fiji terdedah kepada kesan perubahan iklim, dan itulah sebab kita akan sama-sama mengusahakan tindakan yang lebih global.”
Antara tindakan tersebut termasuk kehadiran di forum pelbagai hala, seperti Forum Negara Kecil (FOSS) dan Perikatan Negara Kepulauan Kecil (Aosis).
Menurut Encik Wong, kededua negara merupakan negara kepulauan kecil, dan adalah gerbang kepada rantau masing-masing.
Mereka juga percaya akan kepentingan undang-undang antarabangsa, multilateralisme dan perdagangan bebas.
Fiji dan Singapura juga merupakan masyarakat yang mempunyai kepelbagaian bangsa, dengan kepercayaan untuk saling hormat menghormati, bersikap inklusif dan sentiasa bekerjasama demi kebaikan semua.
Encik Wong juga berkata Singapura akan menyokong pembangunan modal insan Fiji, dengan lebih 1,500 pegawai Fiji telah melibatkan diri dalam Program Kerjasama Singapura.
Jumlah pegawai ini adalah antara 6,200 pegawai daripada Program Kerjasama Singapura selama 30 tahun lalu.
Perikatan Fiji dan Singapura akan menyediakan asas yang kuat untuk penglibatan Singapura dalam Forum Kepulauan Pasifik (PIF).
Menjelaskan penglibatan Singapura, Encik Wong berkata:
“Kami berbesar hati kerana dapat menjadi Rakan Kongsi Dialog PIF pada 2022, semasa Fiji merupakan pengerusi.
“Kami juga menyokong Strategi 2050 bagi Benua Pasifik Biru PIF, yang telah dilancarkan di bawah kepimpinan Fiji,” kata Encik Wong.
Di samping itu, pakej Perkongsian Daya Tahan dan Pengetahuan Singapura-Pasifik (Sparks) telah disesuaikan khususnya bagi strategi ini, dan menyokong keutamaan Pasifik dari segi ketahanan iklim, keselamatan siber dan undang-undang antarabangsa, kata Encik Wong.
“Kami juga telah mengusahakan Lawatan Peringkat Tinggi Singapura-Pasifik untuk melibatkan perdana menteri bagi isu kepentingan bersama.
“Saya harap dapat menerima lebih ramai pegawai Fiji dan Pasifik ke Singapura, untuk terus membina pertukaran ilmu dan persahabatan ini,” kata Encik Wong.
Beliau meneruskan ucapannya dengan menjelaskan bahawa walaupun kededua negara adalah kecil, dengan kerjasama dua hala dan dengan Pasifik, “kita boleh menghasilkan kesan kepada perkara yang penting bagi kita”.
“Saya menanti-nantikan kerjasama bersama Perdana Menteri Rabuka untuk membawa perkongsian kita ke peringkat lebih tinggi,” kata Encik Wong.
Singapura dan Fiji telah menjalin perikatan diplomatik sejak 1971.
Lawatan ini merupakan lawatan kedua Encik Rabuka ke Singapura, selepas lawatannya yang pertama pada 1998, dengan bunga anggerik dinamakan sempena beliau.
Pada lawatan kali ini, Encik Rabuka akan melawat Pusat Kawalan Operasi Pelabuhan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura pada 23 April.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg