Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Filipina perkukuh kerjasama pertahanan

Jul 24, 2024 | 7:23 PM
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen (kanan), dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Encik Gilberto Teodoro Jr, di majlis tandatangan Memorandum Persefahaman (MOU) pada 24 Julai.
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen (kanan), dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Encik Gilberto Teodoro Jr, di majlis tandatangan Memorandum Persefahaman (MOU) pada 24 Julai. - Foto MINDEF

Singapura dan Filipina telah menandatangani perjanjian untuk memperkukuh lagi kerjasama pertahanan dalam bidang kepentingan bersama.

Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani oleh Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Encik Gilberto Teodoro Jr, pada 24 Julai bertujuan menggalakkan kerjasama dalam bidang seperti pendidikan ketenteraan dan antikeganasan, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan.

Ia hasil perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak lebih setahun lalu, di Dialog Shangri-La (SLD) pada Jun 2023, untuk meningkatkan kerjasama dalam bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.

MOU itu dibuat ketika Singapura dan Filipina meraikan ulang tahun ke-55 hubungan dua hala pada 2024.

Singapura menyambut kunjungan Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, pada awal Mei, ketika beliau menghadiri SLD 2024.

Encik Marcos turut menyampaikan ucapan dasar di SLD – ketua negara Filipina pertama berbuat demikian pada sidang kemuncak pertahanan tertinggi Asia.

Semasa lawatannya, Encik Marcos bertemu Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Istana dengan kedua-dua pemimpin membincangkan peluang bekerjasama dalam bidang yang sedang pesat membangun seperti ekonomi digital, kredit karbon dan tenaga boleh diperbaharui.

Pada mesyuarat 24 Julai, Dr Ng dan Encik Teodoro menegaskan semula hubungan pertahanan dua hala yang mesra antara Singapura dengan Filipina, kata Mindef.

Kedua-dua pemimpin turut menyatakan komitmen mereka untuk meneruskan kerjasama pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) dan mesyuarat ADMM-Plus.

Encik Teodoro berada di Singapura bersama delegasi pegawai kanan pertahanan Filipina, termasuk Timbalan Setiausaha bagi Penilaian dan Perancangan Strategik, Encik Ignacio Madriaga, dan ketua tentera, Encik Romeo Brawner.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg