Singapura akan meningkatkan usaha vaksinasinya, terutama untuk mendekati golongan yang mudah terjejas dan warga emas.
Ini termasuk meluaskan rangkaian klinik SG Lebih Sihat atau Healthier SG yang menawarkan vaksinasi Covid-19, dan meluaskan lagi jangkauan kepada warga emas, dengan menempatkan Pasukan Vaksinasi Bergerak (MVT) tambahan di beberapa lokasi terpilih.
Orang ramai kini boleh merujuk ke pautan, https://www.vaccine.gov.sg/locations/mvt untuk mengetahui tempat dan jadual pengerahan MVT.
Pendaftar SG Lebih Sihat kini boleh mendapatkan vaksin Covid-19 di sekitar 250 Klinik SG Lebih Sihat di seluruh negara.
Orang ramai dinasihatkan agar menempah slot vaksinasi Covid-19 mereka melalui https://book.health.gov.sg/covid atau dengan menghubungi klinik-klinik yang terlibat terlebih dahulu.
Dari 21 Mei hingga 29 Jun 2024, lima Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) akan melanjutkan waktu operasi mereka pada Sabtu dan malam cuti umum dari 9 pagi hingga 7 malam. Waktu operasi pada masa ini ialah dari 9 pagi hingga 1 tengah hari.
Bercakap kepada media setelah menghadiri seminar Tinjauan Masyarakat (CIR) anjuran AMP Singapura pada 18 Mei, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata data vaksinasi Singapura belum kukuh, iaitu jumlah mereka yang mengambil vaksinasi Covid-19 tambahan adalah rendah.
Kesan vaksin yang diambil sebelum ini akan semakin kurang keberkesanannya dari bulan ke bulan, tambah beliau.
Oleh itu, Encik Ong menggalakkan mereka yang belum mendapatkan vaksinasi Covid-19 dalam 12 bulan lalu agar berbuat demikian.
Dalam satu kenyataan pada 18 Mei, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata:
“Sehingga kini, sekitar 80 peratus penduduk setempat telah melengkapkan dos awal atau dos tambahan mereka tetapi tidak menerima dos dalam tempoh tahun lepas (2023). Ini menunjukkan bahawa imuniti dalam populasi mungkin telah berkurangan.”
Kementerian itu menambah adalah penting bagi individu terus menerima dos tambahan bagi mencegah penyakit Covid-19 yang teruk, yang menyaksikan pesakit perlu dimasukkan ke hospital atau Unit Jagaan Rapi (ICU).
“Walaupun kita sudah hidup dengan Covid-19 sebagai penyakit endemik, kita tidak mampu memandang remeh perkara ini.
“Pada puncak gelombang JN.1 sebelumnya pada Disember 2023, kadar kemasukan ke hospital dek Covid-19 dan kemasukan ke ICU dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun ke atas adalah 25 peratus lebih tinggi bagi mereka yang tidak mengemas kini vaksinasi mereka, berbanding mereka yang telah (mendapatkan dos tambahan),” jelas MOH.
Keberkesanan vaksin Covid-19 juga terbukti dalam banyak kajian yang dijalankan sebelum ini.
Misalnya, antara September 2023 dengan Januari 2024, pusat kawalan dan pencegahan penyakit Amerika Syarikat mendapati vaksinasi Covid-19 yang dikemas kini mengurangkan risiko Covid-19 simptomatik sebanyak lebih 50 peratus.
Vaksinasi Covid-19 kekal percuma bagi penduduk Singapura yang layak.
MOH berkata ia akan menghantar pesanan mesej ringkas (SMS) melalui telefon bimbit kepada individu yang belum mengambil sebarang vaksinasi Covid-19 dalam tempoh 12 bulan lalu, untuk mengingatkan mereka supaya berbuat demikian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg