S’pura henti daftar kereta, teksi baru guna diesel mulai Jan 2025
S’pura henti daftar kereta, teksi baru guna diesel mulai Jan 2025
Pemerintah akan menghentikan pendaftaran kesemua kereta dan teksi baru yang menggunakan diesel mulai 1 Januari 2025.
Ia adalah sebahagian daripada langkah dalam memastikan Singapura memanfaatkan tenaga bersih menjelang 2040, lapor The Straits Times.
Langkah untuk menghentikan secara berperingkat, kenderaan yang menghasilkan lebih pencemaran itu telah diumumkan di Parlimen pada Mac 2021, semasa perbahasan mengenai rancangan pemerintah dalam pemuliharaan alam sekitar.
Sejak itu, kadar pendaftaran kereta dan teksi baru menggunakan diesel secara keseluruhannya kekal di bawah 1 peratus, memandangkan adanya pilihan yang lebih bersih, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 10 Julai.
Larangan ke atas kereta dan teksi baru berteraskan diesel dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kesemua kereta dan teksi baru yang didaftarkan di sini mestilah model tenaga bersih mulai 2030.
Pemilik kereta diesel yang didaftarkan sebelum 1 Januari 2025 akan dapat memperbarui Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) mereka selepas tarikh akhir 2025 tetapi akan dikenakan cukai jalan lebih tinggi untuk tidak menggalakkan pembaruannya, kata LTA.
Ini adalah sebahagian dasar sedia ada untuk mengenakan surcaj cukai jalan sebanyak 10 peratus hingga 50 peratus bagi kenderaan berumur lebih 10 tahun, bergantung kepada umur kenderaan.
LTA juga berkata sekatan ke atas pendaftaran kereta baharu berasaskan diesel tidak akan dikenakan ke atas import dan pendaftaran kereta di bawah skim Kenderaan Klasik dan Kenderaan Vintaj.
Di bawah skim tersebut, kenderaan klasik mestilah berumur sekurang-kurangnya 35 tahun dari tarikh pendaftaran asalnya dan memenuhi keperluan pendaftaran dan teknikal tertentu.
Sementara itu, kenderaan vintaj termasuk kereta, motosikal atau skuter yang dipelihara dengan baik, kaya dengan warisan yang telah dikeluarkan sebelum Januari 1940.
Sehingga Mei 2024, terdapat 19,972 kereta dan teksi yang menggunakan diesel di jalan raya Singapura. Ini membentuk minoriti kecil daripada 164,759 kenderaan diesel di sini, yang sebahagian besarnya adalah kenderaan barangan dan bas.
Sehingga Mei 2024, kira-kira 17 peratus daripada semua kenderaan di Singapura menggunakan diesel.
Dalam kalangan kereta penumpang, model diesel tulen membentuk kira-kira 2.7 peratus daripada populasi 650,001.
Walaupun teksi kebanyakannya menggunakan diesel, majoriti besar telah beralih kepada model hibrid petrol-elektrik atau elektrik sepenuhnya.
Sehingga Mei ini, kira-kira 16.8 peratus daripada 13,330 teksi di sini masih menggunakan kuasa diesel.

