S’pura iktiraf 8 lagi ijazah perubatan luar negara
Mulai 1 Februari, senarai universiti luar negara yang diiktiraf untuk pengajian perubatan di Singapura akan diperluas dengan penambahan lapan lagi institusi.
Dalam kenyataan bersama pada 27 Januari, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Majlis Perubatan Singapura (SMC) menjelaskan bahawa kemasukan sekolah perubatan baharu ini bertujuan untuk menampung permintaan terhadap doktor yang kian meningkat, sejajar dengan populasi yang semakin menua.
Penambahan terbaru ini menjadikan jumlah sekolah perubatan luar negara yang diiktiraf di Singapura meningkat daripada 112 kepada 120.
Sekolah-sekolah yang baru diiktiraf adalah Universiti Adelaide, Australia; Akademi Pendidikan Tinggi Manipal, India; Universiti Galway, Ireland; Universiti Sains Malaysia; Kolej Perubatan Universiti Aga Khan, Pakistan; Universiti Tsinghua, China; Universiti Exeter dan City St George’s, Universiti London kededuanya di Britain.
Mulai 2026, pelajar yang berhasrat menjadi doktor boleh memohon ke sekolah-sekolah perubatan luar negara yang tersenarai.
“SMC sentiasa menyemak senarai kelayakan perubatan yang didaftarkan.
“Ini penting untuk memastikan latihan bagi doktor yang dididik di luar negara dan ingin berkhidmat di Singapura setaraf dengan standard sekolah perubatan tempatan,” jelas kenyataan tersebut.
Kenyataan itu juga menambah bahawa banyak faktor diambil kira, termasuk kedudukan antarabangsa sekolah, penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, serta prestasi doktor lepasan universiti-universiti tersebut.
“Penambahan ini akan membantu Singapura memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap doktor seiring dengan penuaan populasi, walaupun kemasukan tahunan pelajar perubatan tempatan telah meningkat daripada sekitar 440 pelajar pada 2014, kepada 555 pada 2025,” kata kenyataan tersebut.
Semua graduan dari sekolah perubatan itu, sama ada rakyat Singapura atau bukan dan yang tamat pengajian sebelum atau selepas 2026, boleh mendaftar dengan SMC.
“SMC akan terus memantau doktor perubatan lulusan luar negara dalam tahun-tahun awal perkhidmatan mereka melalui rangka kerja pengawasan bagi menjamin amalan perubatan yang bermutu tinggi,” tambah kenyataan tersebut.

