Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura, India setuju perkukuh kerjasama telekomunikasi serta keselamatan makanan
Perjanjian dimeterai semasa sesi Meja Bundar Menteri India-Singapura (ISMR) edisi keempat
Singapura dan India telah memeterai perjanjian untuk menjalin kerjasama lebih erat dalam sektor telekomunikasi dan penyiaran, serta berkongsi amalan terbaik berkaitan keselamatan makanan.
Langkah itu adalah sebahagian daripada dua Memorandum Persefahaman (MOU) dan surat hasrat yang dimeterai antara kedua-dua negara menyusuli sesi Meja Bundar Menteri India-Singapura (ISMR) edisi keempat, yang diadakan di Hotel Shangri-La pada 20 Ogos.
Sesi meja bundar berkenaan merupakan wadah dialog peringkat tinggi yang diperkenalkan pada 2022 bagi memperdalam kerjasama dua hala antara Singapura dengan India.
Ia turut mengenal pasti dan meneroka peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam bidang baharu dan sedang berkembang.
Kedua-dua negara bergilir-gilir menjadi tuan rumah bagi mesyuarat tersebut, dengan perjumpaan sebelum ini diadakan di New Delhi pada Ogos 2025.
Singapura diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; serta Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.
Delegasi India pula diwakili oleh Menteri Kewangan dan Hal Ehwal Korporat, Cik Nirmala Sitharaman; Menteri Ehwal Luar, Encik S Jaishankar; Menteri Perdagangan dan Industri, Encik Piyush Goyal; serta Menteri Negara (Perdagangan dan Industri merangkap Elektronik dan Teknologi Maklumat), Encik Jitin Prasada.
Bercakap kepada media tempatan selepas mesyuarat tersebut, Encik Gan menyifatkan pertemuan itu sebagai sangat produktif.
Perbincangan para menteri turut merangkumi kesemua enam teras ISMR, iaitu perkilangan maju, keterhubungan, pendigitalan, penjagaan kesihatan dan perubatan, pembangunan kemahiran, serta kemampanan.
Satu bidang yang menarik minat khusus kedua-dua pihak ialah peningkatan kemahiran dan latihan tenaga kerja India dalam sektor seperti perkilangan maju serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangan, kata Encik Gan.
Mereka turut membincangkan mengenai usaha mempermudah kemasukan syarikat-syarikat Singapura ke India, sekali gus mewujudkan ekosistem bagi perkilangan semikonduktor di sana.
Selain itu, terdapat juga potensi pelaburan lanjut dalam sektor pemprosesan makanan India, kata Encik Gan.
Di bawah perjanjian pada 20 Ogos itu, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) Singapura dan Penguasa Pengawalan Telekomunikasi India akan memperdalam kerjasama dalam bidang seperti pengurusan spektrum.
Jalur frekuensi radio, atau spektrum, merupakan gelombang udara tidak kelihatan yang membawa isyarat tanpa wayar bagi membolehkan pelbagai komunikasi harian dijalankan – seperti siaran radio dan televisyen serta komunikasi satelit penerbangan dan maritim.
Kedua-dua agensi kebangsaan antaranya turut bersetuju untuk berkongsi pandangan serta amalan terbaik bagi melindungi kepentingan pengguna berhubung perkhidmatan telekomunikasi dan kawal selia penyiaran.
Sementara itu, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Singapura serta Kementerian Pelabuhan, Perkapalan dan Laluan Air India menyasar untuk mempermudahkan proses pertukaran maklumat dan latihan antara institusi warisan kedua-dua negara.
Ini di samping menggalakkan penyertaan kedua-dua kementerian dalam program penglibatan di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Penguasa Keselamatan dan Piawaian Makanan India bersetuju untuk memperkukuh kerjasama teknikal dua hala dalam keselamatan makanan.
Ini termasuk menerusi pertukaran maklumat mengenai pelabelan, penarikan semula produk, pemberitahuan kecemasan, serta prosedur import.
SFA dan agensi sejawatnya dari India itu juga bersetuju untuk menyokong perdagangan agromakanan yang selamat dan berdaya tahan antara kedua-dua negara.
Encik Gan berkata nilai paling penting bagi ISMR adalah ia memudahkan menteri dari kedua-dua negara untuk menghubungi rakan sejawat mereka, sekali gus menyelesaikan sebarang isu yang boleh menghalang kerjasama lebih mendalam.
“Kami membina kepercayaan dan hubungan antara satu sama lain (dan) ini akan membantu memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua negara,” kata beliau.
Delegasi menteri India itu diraikan dalam satu majlis jamuan makan tengah hari dengan Encik Gan selaku tuan rumah, selain mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Encik Wong berkata para pemimpin membincangkan langkah-langkah untuk mengembangkan lagi kemajuan baik yang dicapai menerusi ISMR, serta membawa perkongsian strategik menyeluruh (CSP) kedua-dua negara ke peringkat lebih tinggi.
Singapura dan India meningkatkan hubungan dua hala mereka kepada CSP pada September 2024, ketika Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi membuat lawatan rasmi dua hari ke Singapura.
