Singapura dan Indonesia bersetuju memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang kemampanan alam sekitar.

Persetujuan itu dibina menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) di Jakarta pada 29 Jun mengenai Kerjasama Alam Sekitar, yang menyaksikan kerjasama kededua negara dalam beberapa bidang utama.

Ia merangkumi ekonomi kitaran dan pengurusan sisa, pengurusan alam sekitar termasuk mutu air dan udara, perubahan iklim, pencemaran rentas sempadan serta pembangunan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan dalam menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada hari yang sama, Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) menyatakan bahawa MOU itu ditandatangani oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; dan Menteri Alam Sekitar/Ketua Agensi Kawalan Alam Sekitar Indonesia, Dr Mohammad Jumhur Hidayat.

Dr Jumhur menegaskan komitmen utuh Indonesia bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran alam sekitar yang kian kompleks.

“Hari ini (29 Jun), kami menandatangani MOU dengan pemerintah Singapura, yang akan disusuli dengan bentuk kerjasama yang lebih membina dan bersifat operasi.

“MOU ini menjadi rangka kerja menyeluruh bagi kerjasama antara dua negara... melaksanakan pelbagai inisiatif bersama.

“Usaha ini termasuk bagi menangani perubahan iklim, pengurusan sisa, kawalan pencemaran udara serta usaha menangani kesan fenomena El Nino yang semakin berpanjangan,” kata Dr Jumhur.

MOU tersebut mencerminkan hubungan erat antara Singapura dengan Indonesia.

Pada masa yang sama, ia menandakan komitmen kededua negara untuk terus berganding bahu dalam mencapai pembangunan mampan dan membina masa depan yang lebih berdaya tahan.

Bagi mendukung pelaksanaan MOU tersebut, Singapura dan Indonesia akan bekerjasama melalui pertukaran teknikal, kajian serta projek bersama dan pembangunan keupayaan.

Dua negara itu akan turut mengadakan dialog di peringkat kementerian dan pegawai kanan pemerintah bagi membimbing serta memperkukuh kerjasama dua hala.

Cik Fu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, menambah:

“Terdapat banyak bidang dalam sektor alam sekitar yang boleh diterokai bersama Indonesia.

“Saya berharap MOU ini akan menjadi permulaan kepada lebih banyak perbincangan pada masa hadapan, baik di peringkat pemerintah mahupun sektor swasta, dengan kededua negara memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan bidang kerjasama yang khusus.”