Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura jadikan AI agenda utama Asean jelang 2027
S’pura jadikan AI agenda utama Asean jelang 2027
Selaku pengerusi Asean, bantu syarikat di Asia Tenggara dalam penggunaan AI
S’pura jadikan AI agenda utama Asean jelang 2027
Membantu perniagaan di seluruh Asia Tenggara mendakap kecerdasan buatan (AI) akan menjadi agenda utama Singapura apabila ia mengambil alih peranan sebagai pengerusi Asean pada 2027, tatkala rantau ini giat melangkah ke era digital.
Berucap di Sidang Kemuncak Ekonomi Asia di Jakarta pada 17 Jun, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkata Singapura akan meneruskan legasi Filipina untuk merancakkan penggunaan AI dalam kalangan Syarikat Kecil dan Sederhana (SME).
“Tahun depan (2027), Singapura akan mengambil alih kerusi Asean, dan kami akan menghimpunkan lebih ramai usahawan SME, tenaga kerja serta pemerintah untuk memanfaatkan AI dengan lebih berkesan,” kata Cik Teo.
Cik Teo mengingatkan agar tidak terjebak dalam tafsiran sempit “kedaulatan AI”, kerana tidak realistik bagi kebanyakan negara untuk menguasai setiap lapisan ekosistem, daripada cip dan model hinggalah data dan aplikasi.
Sebaliknya, beliau menekankan bahawa tumpuan harus diberikan kepada tadbir urus AI yang berkesan, kebebasan memilih rakan kongsi teknologi, dan pembinaan ekosistem domestik yang berdaya tahan.
Singapura akan meningkatkan pelaburan dalam sumber digital serantau, termasuk model bahasa dan kit alat tadbir urus bagi memangkinkan keupayaan AI bersama.
Menurut Cik Teo, Asean memiliki asas kukuh untuk meluaskan penggunaan AI, didorong oleh prasarana yang pesat, warga yang celik digital, serta komitmen jitu dalam memperkasa kemahiran tenaga kerja.
Sebagai antara pasaran digital paling dinamik di dunia, ekonomi digital Asia Tenggara dijangka mencecah AS$300 bilion ($385 bilion) pada 2025, berdasarkan laporan Google, Temasek dan Bain & Company.
Kapasiti pusat data di seluruh rantau ini dijangka melonjak lebih tiga kali ganda antara 2025 dengan 2030, diiringi perkembangan pesat rangkaian kabel bawah laut.
Namun, Cik Teo menegaskan bahawa prasarana melangkaui sekadar kabel dan kuasa pengkomputeran.
Ia turut merangkumi perisian serta rangka kerja dasar yang menjadikan AI lebih mudah diakses dan bermanfaat.
Cik Teo menekankan kepentingan dasar yang menyokong penggunaan data secara bertanggungjawab.
Untuk melatih model AI yang boleh dipercayai, perniagaan memerlukan akses kepada data bermutu dan persekitaran yang membolehkan data bergerak merentasi sempadan.
Ia amat penting bagi syarikat yang beroperasi di pelbagai negara dan memerlukan gambaran menyeluruh mengenai pelanggan dan rantaian bekalan mereka.
Beliau mengakui sekatan penting bagi melindungi privasi dan keselamatan, namun memberi amaran peraturan yang keterlaluan boleh menghalang inovasi.
“Bersama, kita harus membantu syarikat kecil ini untuk berkembang maju dan membesar, sama ada mereka berada di Jakarta, Bandung, Hanoi atau Bangkok,” kata Cik Teo.
