S’pura jangka lebihan lebih kecil sebanyak $8.5 bilion bagi 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura jangka lebihan lebih kecil sebanyak $8.5 bilion bagi 2026

Feb 12, 2026 | 7:31 PM

S’pura jangka lebihan lebih kecil sebanyak $8.5 bilion bagi 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kedua-dua pendapatan operasi dan jumlah keseluruhan perbelanjaan dijangka meningkat pada Tahun Kewangan 2026, meskipun peningkatan perbelanjaan dijangka melebihi pertumbuhan hasil.
Kedua-dua pendapatan operasi dan jumlah keseluruhan perbelanjaan dijangka meningkat pada Tahun Kewangan 2026, meskipun peningkatan perbelanjaan dijangka melebihi pertumbuhan hasil. - Foto fail

Singapura mengunjurkan lebihan fiskal $8.5 bilion atau 1 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dalam Belanjawan pertama bagi penggal baru pemerintah. Keadaan ini membolehkan Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC) menampung defisit utama.

Jumlah ini lebih kecil berbanding lebihan $15.1 bilion yang melebihi jangkaan bagi Tahun Kewangan 2025. Namun, ia selaras dengan ramalan ahli ekonomi untuk lebihan yang dirancang bagi tahun ketiga berturut-turut.

“Kami akan terus memastikan Belanjawan kekal seimbang dari semasa ke semasa, sejajar dengan naik turun kitaran ekonomi,” kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Belanjawan pada 12 Februari.

Kedua-dua pendapatan operasi dan jumlah keseluruhan perbelanjaan dijangka meningkat pada Tahun Kewangan 2026, meskipun peningkatan perbelanjaan dijangka melebihi pertumbuhan hasil.

Pendapatan operasi dianggarkan sebanyak $134.8 bilion, meningkat 3 peratus berbanding angka dikemas kini bagi Tahun Kewangan 2025 iaitu $130.9 bilion.

Cukai pendapatan korporat kekal sebagai penyumbang terbesar dengan $37.8 bilion, meningkat $2.5 bilion atau 7.2 peratus berbanding angka dikemas kini bagi Tahun Kewangan 2025.

Kutipan juga meningkat bagi komponen utama lain seperti cukai pendapatan individu, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), serta premium kuota kenderaan.

Dari segi peratusan, cukai kenderaan bermotor mencatat kenaikan terbesar sebanyak 17.2 peratus kepada $2.8 bilion, manakala premium kuota kenderaan, naik 8.8 peratus kepada $9.4 bilion.

Pendapatan dijangka menurun bagi tiga kategori: sumbangan lembaga berkanun; bayaran dan caj, kecuali premium kuota kenderaan; serta cukai lain, yang merangkumi caj pembaikan tanah dan cukai muatan tahunan.

Daripada ketiga-tiga kategori ini, cukai lain mencatat penurunan terbesar yang dianggarkan sekitar 59 peratus, kepada $1.6 bilion.

Sementara itu, jumlah keseluruhan perbelanjaan, dijangka meningkat 10.3 peratus kepada $137.3 bilion, atau 16.3 peratus daripada GDP.

Peningkatan ini didorong oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), yang perbelanjaannya dijangka naik sebanyak $4.5 bilion – atau 68.5 peratus – kepada $11.1 bilion.

Ini susulan inisiatif untuk meningkatkan daya saing ekonomi Singapura dalam persekitaran dunia yang tidak menentu.

Peningkatan kedua terbesar datang daripada Kementerian Kesihatan (MOH), dengan perbelanjaannya dijangka naik $2.1 bilion atau 10.4 peratus kepada $22.5 bilion.

Kenaikan ini didorong oleh peningkatan sokongan kewangan kepada institusi kesihatan awam; peluasan subsidi dan skim jagaan jangka panjang; kemudahan kesihatan baru; serta sistem Rekod Perubatan Elektronik Generasi Baru.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) juga menyaksikan kenaikan besar, dengan peningkatan peruntukan sebanyak $2 bilion atau 21 peratus kepada $11.7 bilion.

Ini disebabkan oleh kemajuan projek seperti Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, serta peningkatan geran kepada Agensi Sains & Teknologi Pasukan Home Team.

Kementerian Pertahanan (Mindef) terus kekal sebagai kementerian tunggal dengan peruntukan terbesar, iaitu $24.9 bilion.

Dalam ucapan Belanjawan, Encik Wong berkata Singapura menjangkakan “perbelanjaan berkaitan keselamatan secara keseluruhan akan meningkat dalam beberapa tahun mendatang”.

Perbezaan antara pendapatan operasi dan jumlah keseluruhan perbelanjaan menghasilkan defisit utama sebanyak $2.6 bilion bagi Tahun Kewangan 2026. 

Selepas pemindahan khas, jumlah ini meningkat kepada defisit asas sebanyak $5.4 bilion.

Namun, $28.5 bilion daripada NIRC – naik $1 bilion atau 3.4 peratus berbanding Tahun Kewangan 2025 – menyumbang kepada lebihan belanjawan keseluruhan Singapura sebanyak $4.2 bilion.

Lebihan fiskal keseluruhan akhir sebanyak $8.6 bilion juga mengambil kira Akta Pinjaman Pemerintah bagi Prasarana Penting (Singa).

Di bawah akta ini, permodalan prasarana penting negara dijangka berjumlah sebanyak $5.02 bilion.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg