Singapura dan Jerman akan memperkukuh kerjasama dalam bidang digital, khususnya dalam pembangunan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi sektor perindustrian.

Langkah itu menyusuli pengumuman peta hala tuju baharu dua negara untuk memperdalam hubungan dua hala dan kerjasama pada 27 Oktober, selepas pertemuan antara Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dengan Canselor Jerman, Encik Friedrich Merz.

Dalam satu sidang media bersama di Bangunan Parlimen, Encik Wong berkata kededua pemimpin mengadakan perbincangan dan bersetuju masih banyak perkara yang boleh dicapai secara bersama di bawah perkongsian strategik antara Singapura dengan Jerman.

Pelan kerja yang dikemas kini itu memperluas pelan tindakan 2024, merangkumi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk AI, ekonomi digital, penyelidikan dan inovasi, serta Asean.

“Singapura dan Jerman mungkin jauh dari segi jarak geografi, namun kita berkongsi banyak kepentingan dan pendirian yang sama, dan perkara ini jelas terbukti menerusi perbincangan kami pagi tadi (27 Oktober),” kata Encik Wong.

“Pendirian bersama ini telah menjadi dasar persahabatan kita sepanjang enam dekad lalu.

“Dalam dunia yang kini semakin tidak menentu dan berpecah belah, hubungan erat kita menjadi semakin penting bagi merapatkan lagi hubungan dua negara serta rantau masing-masing.”

Pemimpin Jerman dan delegasinya yang diraikan dalam satu majlis makan tengah hari di Istana, pada 27 Oktober, oleh Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, turut menyatakan persetujuan terhadap kenyataan Encik Wong itu.

Beliau menambah bahawa Singapura dan Jerman “bertekad untuk terus memperluas perkongsian strategik kami, dan kami komited untuk (lakukan demikian bagi) jangka panjang”.

Mengenai AI, Encik Wong berkata kededua pemimpin mengiktiraf potensi besar teknologi itu untuk mengubah ekonomi negara masing-masing serta membuka peluang baharu bagi sektor perniagaan dan pekerja.

Justeru, kededua pihak berhasrat mengembangkan kerjasama teknologi digital sedia ada dengan bekerjasama dalam bidang AI perindustrian, katanya.

AI perindustrian melibatkan penerapan teknologi tersebut dalam operasi fizikal, robotik dan jentera, seperti dalam sistem perkilangan serta logistik.

Encik Wong berkata Singapura dan Jerman memiliki kekuatan saling melengkapi bagi mencapai matlamat berkenaan.

“Pada masa sama, kami menyedari bahawa AI turut membawa risiko serta cabaran baharu,” tambahnya.

“Oleh itu, sedang kami bekerjasama dalam pelaksanaan AI, kami akan memastikan ia dilaksanakan secara selamat, diyakini dan mengutamakan manusia.”

Canselor Merz pula berkata kededua negara juga akan bekerjasama dalam aspek keselamatan AI melalui institut keselamatan dan perlindungan AI yang baru ditubuhkan oleh pihak masing-masing.

Encik Wong berkata selaku pengerusi Asean pada 2027, Singapura akan bekerjasama dengan Jerman untuk mempererat perkongsian Asean dengan Kesatuan Eropah (EU), termasuk melakar kemajuan ke arah pemeteraian perjanjian perdagangan bebas (FTA) Asean-EU.

Dalam satu catatan Facebooknya pada 27 Oktober, Encik Lee pula berkata Jerman merupakan rakan kongsi lama dan dipercayai.

Menurutnya, hubungan dua negara telah berkembang secara mantap, dan telah mempertingkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik pada 2024.