S’pura kaji semula undang-undang, dasar bagi lindungi kehidupan marin sejagat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura kaji semula undang-undang, dasar bagi lindungi kehidupan marin sejagat

Jan 20, 2026 | 4:20 PM

S’pura kaji semula undang-undang, dasar bagi lindungi kehidupan marin sejagat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
OceanXplorer, NUS, Lautan Hindi
Kapal penyelidikan OceanXplorer menjalankan misi selama 24 hari bersama Universiti Nasional Singapura (NUS) ke rangkaian gunung laut di Lautan Hindi pada 2025. - Foto fail

Singapura sedang memainkan peranan untuk membantu memulihkan ketenteraman di lautan bebas, yang disifatkan sebagai tapak jenayah terbesar dunia.

Pihak berkuasa kini mengkaji semula undang-undang dan dasar untuk memenuhi kewajipan di bawah Perjanjian Laut Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), satu perjanjian penting yang mula berkuat kuasa pada 17 Januari untuk melindungi kehidupan marin bagi dua pertiga lautan.

Perubahan dalam Penilaian Kesan Sekitaran (EIA), aktiviti maritim dan perkapalan, serta penyelidikan dasar laut mungkin akan diperkenalkan, kata pakar dasar lautan.

Lautan bebas, yang terletak di luar kawalan mana-mana negara, merangkumi kawasan lautan terbuka di luar bidang kuasa mana-mana negara, serta dasar laut di luar pelantar benua nasional. 

Menutupi hampir separuh permukaan bumi dan dua pertiga daripada keseluruhan lautan, lautan bebas sering terdedah kepada aktiviti memancing haram, pencemaran, dan perdagangan hidupan liar.

Perjanjian Laut Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebuah perjanjian penting untuk melindungi kehidupan marin di dua pertiga daripada lautan, mula berkuat kuasa pada 17 Januari.
Perjanjian Laut Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebuah perjanjian penting untuk melindungi kehidupan marin di dua pertiga daripada lautan, mula berkuat kuasa pada 17 Januari. - Foto NORD UNIVERSITY/NYTIMES

Kini, aktiviti seperti penerokaan dasar laut, penyelidikan saintifik marin, dan pengumpulan organisma marin untuk bahan genetik yang digunakan dalam bidang farmaseutikal atau bioteknologi akan dikawal selia dengan lebih teliti.

Sebagai contoh, satu EIA mungkin perlu dilakukan jika sebuah syarikat atau institusi ingin menjalankan penyelidikan mengenai pengumpulan spesimen untuk tujuan komersial, kata penasihat di Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Lee Kong Chian di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Peter Ng.

Contohnya, span marin mengandungi bahan perubatan yang boleh merawat penyakit, dan pertubuhan mungkin ingin mengumpulkan jumlah yang banyak untuk mengkomersialkan produk, jelasnya.

“Sebelum anda mula mengumpul organisma tersebut dalam jumlah tertentu, anda perlu melakukan EIA, menerangkan sebab anda perlu mengeluarkan bahan tersebut, dan menunjukkan aktiviti anda tidak akan merosakkan ekosistem,” tambah Prof Ng.

Menurutnya, pemerintah perlu menyediakan rangka kerja untuk memastikan EIA tersebut dilaksanakan dengan teliti.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata Singapura sedang mengkaji semula undang-undang, rangka kerja pengawalseliaan dan mekanisme untuk memenuhi kewajipan mereka di bawah perjanjian tersebut.

Singapura adalah antara lebih 80 negara yang telah mengesahkan Perjanjian Laut Bebas PBB, yang secara rasmi dikenali sebagai Perjanjian bagi Kepelbagaian Biologi Marin Kawasan Melangkaui Bidang Kuasa Negara (BBNJ). 

Duta Singapura bagi Undang-undang Antarabangsa, Cik Rena Lee, telah mempengerusikan rundingan perjanjian tersebut.

Perjanjian itu merangkumi beberapa teras utama yang mesti dipatuhi oleh negara terlibat:

– Memberikan rangka kerja undang-undang untuk melindungi biodiversiti marin dan menjalankan EIA.

– Menetapkan peraturan untuk berkongsi hasil daripada penemuan saintifik mengenai kehidupan marin dasar laut.

– Membantu negara membangun (developing countries) untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam penyelidikan dan pemuliharaan lautan.

Setiap negara perlu melakukan EIA jika aktiviti mereka di lautan bebas, seperti penyelidikan marin atau projek prasarana, memberi impak kepada alam sekitar.

EIA juga diperlukan jika negara itu menjalankan aktiviti maritim dalam bidang kuasanya yang boleh memberi kesan kepada lautan bebas.

EIA tersebut juga mesti didedahkan kepada umum melalui wadah akses terbuka yang ditetapkan, di mana negara yang terjejas boleh memberi maklum balas dan ulasan sepanjang proses penilaian.

Proses EIA Singapura tidak ditetapkan dalam undang-undang, dan tidak semua laporan atau penemuan boleh diakses dalam talian, terutamanya yang melibatkan keselamatan negara.

Dalam kes sebegitu, orang awam boleh mengakses laporan EIA dalam bentuk salinan keras atas permintaan, tetapi mereka perlu menandatangani perjanjian tanpa mendedahkan maklumat.

MFA berkata, Singapura mempunyai rangka kerja EIA yang kukuh untuk semua aktiviti pembangunan yang dijalankan di sini.

“Secara amnya, projek pembangunan di Singapura dikehendaki menjalani proses penilaian yang teliti, yang mengambil kira potensi impak terhadap trafik, kesihatan awam, warisan dan alam sekitar,” kata MFA.

Bagi memastikan Singapura memenuhi kewajipan EIA, agensi pemerintah sedang mengkaji semula proses mereka bagi mengawal selia aktiviti tersebut, kata MFA lagi.

Standard dan garis panduan EIA akan diterima pakai oleh badan pembuat keputusan perjanjian, yang akan diambil kira oleh Singapura dalam mengemas kini prosesnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg