Singapura komited menyokong negara anggota Komanwel dalam penggunaan teknologi demi pembangunan.
Di bawah Program Kerjasama Singapura (SCP), negara ini kini menawarkan kursus mengenai topik seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, dan ekonomi digital.
Ia telah melatih lebih 30,000 pegawai pemerintah Komanwel sejak 1992.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata demikian di Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (Chogm) Sesi Eksekutif 2 (untuk AI dan teknologi) di Apia, Samoa, pada 25 Oktober.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata negara-negara boleh menggunakan teknologi digital untuk membina masyarakat yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran sejagat.
“Kami berharap dapat bekerjasama dengan ‘aiga’ (perkataan Samoa untuk keluarga) Komanwel, terutama sesama negara kecil, untuk menggunakan teknologi demi kebaikan rakyat kita, ekonomi kita dan dunia, dan dalam proses itu, membina masa depan yang terjamin dan berdaya tahan,” kata Encik Wong.
Encik Wong tiba di Samoa pada 23 Oktober untuk menghadiri mesyuarat sidang puncak dwitahunan yang melibatkan pemimpin dan pegawai dari 56 negara anggota Komanwel.
Menurut beliau, terdapat konflik di Eropah dan Timur Tengah, persaingan geopolitik yang terus meruncing, yang mempunyai kesan untuk semua.
“Jadi adalah penting sebagai keluarga Komanwel, agar kita mencari jalan untuk meningkatkan daya tahan individu dan kolektif kita,” tambahnya.
Singapura telah menggunakan AI untuk kebaikan awam, kata Encik Wong.
Ia digunakan untuk meramal dan mengendali hujan lebat, mengoptimumkan pertumbuhan dan hasil di ladang ikan, serta dalam mengesan dan mendiagnosis penyakit.
Singapura juga terus melabur dalam keupayaan AI baru untuk pelajar dan perusahaan kecil dan sederhana (SME), serta untuk sains dan penyelidikan, tambahnya.
Beliau menyatakan bahawa Singapura telah bekerjasama dengan Rancangan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) untuk melancarkan buku panduan atau ‘playbook’ Penyertaan Digital 2.0 pada September, yang menawarkan strategi praktikal untuk menutup jurang digital.
Ia juga telah bekerjasama dengan Rwanda untuk melancarkan buku panduan AI untuk Negara Kecil yang pertama di dunia, dengan sumbangan daripada pelbagai negeri kecil Komanwel yang lain.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang juga berada di Samoa untuk mesyuarat berkaitan Chogm, telah memberi ucapan mengenai penerokaan peluang dalam AI dan teknologi baru lain.
Beliau berkata Singapura percaya AI dapat membawa perubahan yang luas, termasuk dalam penjagaan kesihatan dan kewangan.
Dr Balakrishnan akur akan kebimbangan mengenai keselamatan AI, sambil menambah bahawa Singapura berkongsi kebimbangan itu dan telah merangka prinsip tadbir urus AI yang akan sentiasa disemak dan diselaraskan.
“Kami berbesar hati untuk berkongsi rangka kerja ini dan menyumbang kepada wacana sejagat mengenai tadbir urus AI, dan khususnya, untuk meningkatkan kapasiti dan peluang latihan untuk anggota Komanwel, terutama bagi negeri-negeri kecil yang kekurangan akses kepada alat dan metodologi ini,” ujarnya.
Dr Balakrishnan turut berucap tentang ancaman dan cabaran seperti peperangan dan perubahan iklim.
“Persoalan yang perlu kita tanya ialah bagaimana Komanwel boleh menyumbang untuk membina daya tahan, berdasarkan situasi yang sedang kita hadapi,” katanya.
“Kami percaya ini adalah kritikal, lebih daripada sebelumnya, kerana kami memerlukan sistem pelbagai hala berasaskan peraturan yang menyediakan prasarana asas, serta asas bagi keamanan, keselamatan, pertumbuhan dan pembangunan.”
Komanwel mesti menyokong institusi antarabangsa dan pelbagai hala, khususnya Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), tambah Dr Balakrishnan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg