Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian: Negara Komanwel perlu kerjasama, kongsi amalan pembiayaan terbaik

Demi atasi cabaran sejagat dan bersaing dengan negara maju
Oct 24, 2024 | 3:22 PM
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (dua dari kiri), berucap di Mesyuarat Menteri-Menteri Komanwel mengenai Negara-Negara Kecil (CMMSS) pada 23 Oktober di Apia, Samoa.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (dua dari kiri), berucap di Mesyuarat Menteri-Menteri Komanwel mengenai Negara-Negara Kecil (CMMSS) pada 23 Oktober di Apia, Samoa. - Foto MFA

Bagi membolehkan negara Komanwel mengatasi cabaran sejagat dan bersaing dengan negara-negara maju yang lain, ia mesti bersikap terbuka kepada kaedah baru dalam menerima pakai penyelesaian pembiayaan yang inovatif, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Ini termasuk memanfaatkan sektor swasta untuk menggerakkan modal, melabur dalam inisiatif yang akan menjana manfaat sosial dan alam sekitar selain pulangan kewangan, serta meneroka pembiayaan mikro atau microfinancing.

Dr Balakrishnan membuat gesaan itu semasa menghadiri mesyuarat bersama negara-negara Komanwel anjuran United Kingdom, yang diadakan di luar Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (Chogm) di Apia, Samoa pada 24 Oktober.

“Saya rasa kita semua perlu berkongsi pengalaman kita, amalan terbaik kita, cabaran kita dan perspektif kita.

“Sekiranya kita ingin mencari peranan yang kukuh dan penting untuk Komanwel pada masa hadapan, kita perlu melihat bagaimana kumpulan ini boleh komited... untuk mengurangkan halangan tarif dan halangan bukan tarif, meningkatkan (usaha) saling boleh kendali, aliran pelaburan dan latihan, serta menggerakkan kewangan daripada sektor swasta,” katanya.

Dr Balakrishnan berkata Singapura bekerjasama dengan badan seperti Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) dan Suruhanjaya Perdagangan dan Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unctad) untuk menyampaikan latihan dan bantuan teknikal mengenai isu perdagangan antarabangsa, rundingan perdagangan dan ekonomi digital.

Menurutnya, Singapura akan terus menghulurkan bantuan sedemikian kepada negara-negara Komanwel melalui Program Kerjasama Singapura (SCP).

Dr Balakrishnan kini berada di Samoa pada 23-24 Oktober untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Komanwel mengenai Negara-Negara Kecil (CMMSS) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Ehwal Luar Komanwel (CFAMM).

Komanwel adalah persatuan sukarela 56 negara anggota, dengan 33 merupakan negara kecil. Chogm ialah mesyuarat sidang kemuncak dwitahunan yang dihadiri ketua pemerintah negara.

Semasa berucap, Dr Balakrishnan menekankan terdapat penurunan dalam aliran pelaburan asing secara langsung (FDI) sejagat pada 2022 dan 2023, dan memberi amaran bahawa trend global itu mungkin akan melanda negara-negara Komanwel juga.

Untuk mengatasinya, beliau menyeru agar negara-negara menyalurkan FDI ke dalam bidang seperti teknologi hijau, memberi tumpuan kepada pembangunan prasarana serta melabur dalam sistem penjagaan kesihatan, penyelidikan dan pembangunan perubatan.

“Kita perlu menumpukan usaha untuk menyalurkan FDI ke dalam bidang seperti teknologi hijau, sebahagiannya kerana keperluan untuk peralihan hijau, tetapi juga kerana kita perlu mewujudkan asas yang kukuh untuk pekerjaan yang baik. Itu adalah kepentingan politik.

“Kedua, kita perlu memberi tumpuan kepada pembangunan prasarana, termasuk pertahanan banjir, grid tenaga pintar dan sistem pengangkutan mampan, bagi memastikan terdapat golongan yang boleh mengatasi bencana alam dan perubahan iklim.

“Ketiga, kita perlu melabur dalam sistem penjagaan kesihatan, penyelidikan dan pembangunan perubatan untuk membantu mengelak wabak seterusnya sekiranya ia muncul,” kata Dr Balakrishnan.

Secara berasingan, semasa menghadiri mesyuarat CMMSS pada 23 Oktober, Dr Balakrishnan berkata Singapura mahu mencapai tujuan bersama dengan semua negara kecil yang membangun dalam peralihan hijau.

Ini termasuk perkongsian unjuran iklim resolusi tinggi yang telah dilakukan Singapura untuk Asia Tenggara serta metodologi dan teknologi asasnya untuk menjalankan kajian serupa di tempat lain.

Singapura juga ingin membantu negara Komanwel melalui Kerjasama Pembiayaan Peralihan Asia (Fast-P), yang bertujuan mempromosikan tenaga boleh diperbaharui dan projek penyahkarbonan, serta membina kepakaran mereka dalam mengambil tindakan terhadap perubahan iklim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg