Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura komited terus kerjasama dalam pertumbuhan Aceh

Fahmi: Aceh punya potensi jadi hab bagi pembangunan mampan serta industri perkhidmatan seperti ekopelancongan
Dec 26, 2024 | 3:50 PM
Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman (kanan) bertemu dengan Wali Nanggroe atau wakil negeri Aceh Encik Malik Mahmud al-Haytar (kiri) semasa lawatannya ke Banda Aceh, Aceh, Indonesia, dari 22 hingga 24 Disember.
Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman (kanan) bertemu dengan Wali Nanggroe atau wakil negeri Aceh Encik Malik Mahmud al-Haytar (kiri) semasa lawatannya ke Banda Aceh, Aceh, Indonesia, dari 22 hingga 24 Disember. - Foto FACEBOOK FAHMI ALIMAN

Singapura komited untuk bekerjasama dengan penguasa wilayah Aceh dan pemerintah Indonesia, sebagai jiran dan rakan untuk menyokong pertumbuhan Aceh serta kemakmuran dan kestabilan yang lebih luas di rantau ini.

Demikian kongsi Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, dalam ucaptamanya semasa majlis penyampaian Anugerah Ar-Raniry Seumur Hidup, Universiti Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh (UIN AR) bagi pihak Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong pada 24 Disember.

Anugerah tersebut mengiktiraf sumbangan Encik Lee dengan Singapura terhadap usaha bantuan selepas gempa bumi dan tsunami pada 2004.

Dwibencana itu telah mengorbankan sekitar 230,000 orang di lebih 12 negara, termasuk Indonesia, India, Sri Lanka dan Thailand, dan lebih separuh mangsa dari Aceh, wilayah di hujung utara Sumatera yang paling hampir dengan pusat gempa bumi berukuran 9.1 magnitud itu.

Encik Fahmi menekankan ikatan kukuh antara Singapura dengan Aceh dan memuji kemajuan luar biasa Aceh sejak bencana itu.

Beliau berkata: “Pengiktirafan ini adalah bukti semangat kerjasama yang berterusan antara Singapura dengan Aceh. Ikatan ini terus dikekalkan oleh hubungan geografi, sejarah dan budaya kita.”

Beliau juga menyentuh tentang perkembangan Aceh sejak gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 dalam ucaptama yang sama dengan berkongsi bahawa “Aceh telah menanggung beban kerosakan yang terbesar” namun pada “tahun-tahun selepas itu, Aceh telah mencapai kemajuan yang besar”.

Singapura telah mengirimkan lebih daripada 240,000 kilogram bekalan kemanusiaan seperti makanan, bantuan perubatan dan tempat tinggal dan membantu merawat beribu-ribu pesakit, melalui misi bantuan kemanusiaan ‘Operation Flying Eagle’, menurut Encik Fahmi.

Beliau yang telah mengambil bahagian dalam misi pemantauan Aceh yang diketuai Kesatuan Eropah (EU) pada 2005, berkongsi pengalaman menyaksikan bagaimana keamanan di Aceh dicapai, melalui kesediaan pihak yang bertelingkah untuk meletakkan senjata mereka dan mula bekerja untuk membaiki Aceh dan Indonesia secara keseluruhan.

Dalam satu hantaran Facebook pada 25 Disember, Encik Fahmi berkata beliau telah menamatkan kunjungannya ke Banda Aceh dari 22 hingga 24 Disember.

Semasa lawatan tersebut, beliau turut dihos Wali Nanggroe atau wakil negeri Aceh, Encik Malik Mahmud al-Haytar dan mengadakan pertemuan dengan Pemangku Datuk Bandar Banda Aceh, Encik Almuniza Kamal, dan Datuk Bandar Banda Aceh, Cik Illiza Sa’aduddin Djamal.

Beliau juga mengadakan satu lawatan ke Universiti Syiah Kuala yang mana beliau mengulangi komitmen Singapura untuk membina bidang kerjasama baru dengan Aceh, termasuk dalam pendidikan dan pembangunan mampan.

“Aceh hari ini adalah wilayah yang selamat dan aman, diberkati dengan sumber semula jadi yang melimpah, landskap yang menakjubkan dan warisan budaya yang kaya.

“Melihat ke hadapan, Aceh mempunyai potensi yang luar biasa untuk menjadi hab bagi industri utama yang penting untuk pembangunan mampan, serta industri perkhidmatan seperti ekopelancongan.

“Aceh juga akan mendapat manfaat daripada dasar negara untuk mengukuhkan pembangunan modal insan,” kata Encik Fahmi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg