Singapura, Australia dan New Zealand sedang bekerjasama rapat untuk berkongsi pengalaman dan strategi dalam menangani isu penipuan.
Pada 12 Jun, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah bertemu dengan Penolong Bendahari dan Menteri Perkhidmatan Kewangan Australia, Encik Stephen Jones.
Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna New Zealand, Encik Andrew Bayly, di bangunan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) di Irrawaddy Road.
Dalam hantaran di Facebook, Dr Faishal berkata memerangi penipuan adalah keutamaan negara, dan Singapura mengharapkan kerjasama lebih erat dengan Australia dan New Zealand dalam menangani penipuan.
“Kami berbesar hati untuk berkongsi pengalaman kami dengan mereka, termasuk pendekatan kerjasama kami dengan sektor swasta seperti bank, pengendali telekomunikasi dan platform dalam talian untuk mencegah dan mengesan penipuan,” kata Dr Faishal.
Semasa pertemuan itu, isu-isu yang dibincangkan termasuk aliran dan cerapan penipuan; inovasi teknologi antipenipuan; strategi Singapura untuk menghalang berlakunya penipuan dalam media sosial dan enjin carian; dan pendekatan kawal selia dan industri untuk menangani penipuan, termasuk kod mandatori antipenipuan.
Dalam satu kenyataan pada 13 Jun, Pasukan Polis Singapura berkata sekurang-kurangnya 126 mangsa telah kehilangan sekurang-kurangnya $16.3 juta sejak awal 2024 akibat penipuan yang melibatkan orang yang menyamar sebagai pegawai pemerintah.
Mulai 1 Julai, pemerintah akan memperkenal ID Penghantar mesej pesanan ringkas (SMS) tunggal baru – gov.sg – yang akan digunakan semua agensi pemerintah, dan bukan lagi ID Penghantar agensi masing-masing.
Ini bagi mempermudahkan orang ramai mengenal pasti komunikasi pemerintah yang sahih melalui SMS dan melindungi pengguna daripada penipuan dalam bentuk penyamaran sebagai pegawai pemerintah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg