Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SMS dari semua agensi pemerintah guna ID gov.sg mulai 1 Jul

Permudah orang ramai kenal pasti komunikasi pemerintah yang sahih melalui SMS; lindungi dari penipuan penyamaran pegawai pemerintah
Jun 13, 2024 | 6:00 PM
Bermula 1 Julai 2024, agensi pemerintah hanya akan menggunakan ID Penghantar gov.sg untuk mengirimkan SMS.
Bermula 1 Julai 2024, agensi pemerintah hanya akan menggunakan ID Penghantar gov.sg untuk mengirimkan SMS. - Foto GOV.SG

Pemerintah akan memperkenal ID Penghantar mesej pesanan ringkas (SMS) tunggal baru – gov.sg – yang akan digunakan semua agensi pemerintah.

Bermula 1 Julai 2024, agensi pemerintah hanya akan menggunakan ID Penghantar gov.sg untuk menghantar SMS, dan bukan lagi ID Penghantar agensi masing-masing.

Ini akan dilancarkan secara berperingkat mulai 18 Jun 2024.

Pengecualian terhad akan dibuat bagi komunikasi mengenai hal Perkhidmatan Negara (NS) dan perkhidmatan kecemasan.

Menggunakan hanya satu ID Penghantar akan memudahkan orang ramai mengenal pasti komunikasi pemerintah yang sahih yang dihantar melalui SMS, dan melindungi diri mereka daripada penipuan penyamaran pegawai pemerintah.

Timbalan Setiausaha, Negara Bijak Singapura, Encik Sim Feng Ji, berkata usaha baru itu sebahagian satu set langkah untuk memastikan orang awam boleh mempercayai komunikasi daripada pemerintah memandangkan ramai yang telah menjadi mangsa penipuan penyamaran pegawai pemerintah saban tahun.

Pada Disember 2023 sahaja, seramai 120 individu menjadi mangsa penipuan sedemikian, dengan jumlah wang yang mereka hilang adalah sebanyak $13.3 juta.

Ini sedang SMS kekal sebagai platform utama bagi komunikasi pemerintah kepada orang ramai di Singapura, dengan lebih 100 juta SMS dihantar oleh pelbagai agensi pemerintah setiap tahun untuk memberitahu penerima tentang perubahan dasar, menyediakan kemas kini transaksi dan banyak lagi.

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Sim berkata orang ramai boleh mengesahkan kesahihan SMS yang diterima dengan memastikan beberapa perkara.

Pertama, ID Penghantarnya mestilah ‘gov.sg’ – semua merupakan abjad dalam huruf kecil.

Kedua, dalam SMS tersebut mengandungi ‘header’ atau tajuk yang menunjukkan agensi pemerintah yang telah menghantarnya, misalnya ‘Penguasa Pengangkutan Darat’ atau ‘Kementerian Kesihatan’.

Ini diikuti dengan mesej yang ingin disampaikan.

Ketiga, SMS tersebut akan mengandungi ‘footer’ yang menyatakan bahawa mesej yang diterima itu merupakan mesej automatik yang dihantar oleh pemerintah.

Beliau turut menambah bahawa pemerintah telah bekerjasama dengan agregator SMS – syarikat yang membolehkan perniagaan mengirimkan SMS secara pukal kepada pelanggan – serta penyedia khidmat telekomunikasi di sini untuk memastikan mesej bukan daripada pemerintah tidak boleh menggunakan ID Penghantar gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg