S’pura, Korea S setuju tingkat Perjanjian Dagangan Bebas

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Korea S setuju tingkat Perjanjian Dagangan Bebas

Penekanan lebih besar terhadap daya tahan rantaian bekalan, perdagangan digital dan ekonomi hijau
Mar 2, 2026 | 8:51 PM

S’pura, Korea S setuju tingkat Perjanjian Dagangan Bebas

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Lee Jae Myung, Lawrence Wong, Korea Selatan
Presiden Korea Selatan, Encik Lee Jae Myung (kiri) dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong bertemu di Kementerian Ehwal Luar (MFA), pada 2 Mac. - Foto ZAOBAO

Singapura dan Korea Selatan akan meningkatkan Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) sedia ada bagi memanfaatkan pertumbuhan kukuh dalam perdagangan dan hubungan ekonomi antara kededua negara.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata landskap perdagangan sejagat telah berubah dengan ketara sepanjang dua dekad lalu dengan penekanan lebih besar terhadap daya ketahanan rantaian bekalan, perdagangan digital dan peralihan hijau.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersama Presiden Korea Selatan, Encik Lee Jae Myung, pada 2 Mac.

Menurut Encik Wong, langkah meningkatkan FTA yang dimeterai pada 2006 amat tepat pada masanya.

Encik Lee yang sedang mengadakan lawatan negara selama tiga hari ke Singapura, berkata peningkatan FTA itu akan mencerminkan dinamik keselamatan perdagangan dan ekonomi yang berkembang, serta kemajuan teknologi.

Ini selain memajukan kerjasama pelaburan kededua negara secara lebih strategik.

Korea Selatan dan Singapura kini tergolong dalam 10 rakan dagang utama satu sama lain.

Pada 2025, Korea Selatan merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Singapura, manakala Singapura adalah rakan dagang kesembilan terbesar Korea Selatan.

Pelaburan Singapura di Korea Selatan telah melonjak lebih dua kali ganda sejak 2020, kata Encik Wong, dengan syarikat seperti PSA, Singapore Airlines (SIA) dan CapitaLand memperkukuh kerjasama dengan rakan kongsi Korea Selatan dalam bidang logistik, penerbangan dan hartanah.

Syarikat Korea Selatan seperti Hyundai, Lotte Group dan Hanhwa Ocean memanfaatkan Singapura sebagai hab serantau untuk mengakses peluang di serata Asia Tenggara serta pasaran antarabangsa lain.

FTA yang dipertingkat bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang seperti daya tahan rantaian bekalan, ekonomi hijau, mempermudah urusan perdagangan serta penyelenggaraan dan pembaikan penerbangan, sekali gus memupuk kerjasama lebih mendalam dan peluang baru bagi pertumbuhan bersama.

Encik Lee berkata Memorandum Persefahaman (MOU) Perkongsian Pelaburan yang dimeterai antara Korea Development Bank dengan firma pengurusan aset, Seviora Holdings yang disokong Temasek Holdings, akan menerajui kerjasama pelaburan tersebut.

Singapura dan Korea Selatan turut menjalin kerjasama dalam tenaga hijau melalui Perjanjian Kerjasama Nuklear yang sedang dirangka.

“Singapura sedang mengkaji potensi tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga jangka panjang kami, dan kami berharap dapat memanfaatkan kepakaran serta pengalaman Korea,” kata Encik Wong.

Projek itu dibangunkan berasaskan momentum kukuh yang terhasil dalam tempoh empat bulan sejak Korea Selatan dan Singapura meningkatkan hubungan kepada tahap perkongsian strategik pada November 2025, sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka.

Singapura dan Korea Selatan mula menjalin hubungan diplomatik pada 1975.

Menurut Encik Lee, kededua negara telah menunjukkan potensi luar biasa sepanjang abad lalu untuk muncul sebagai kuasa pertengahan yang disegani dengan memanfaatkan sumber asli yang terhad sebagai batu loncatan bagi mencapai kemajuan dalam proses pembinaan negara dan pemodenan.

“Encik Wong dan saya berkongsi pandangan bahawa ketika kita mengharungi satu lagi cabaran – era ketidaktentuan pada abad ke-21 – kededua negara boleh menjadi rakan yang dipercayai,” ujar Encik Lee.

Encik Lee membuat lawatan ke Singapura empat bulan selepas lawatan rasmi pertama Encik Wong ke Korea Selatan pada November 2025, menyusuli penyertaan beliau dalam mesyuarat pemimpin tahunan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang diadakan di Gyeongju.

Diiringi isterinya, Cik Kim Hea Kyung, serta menteri Kabinet dan pegawai kanan, Encik Lee tiba di Singapura pada petang 1 Mac dan disambut oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg