Singapura sedang mengambil langkah membangunkan makanan baru yang lebih enak dan berkhasiat di sini.
Agensi Makanan Singapura (SFA) telah mengeluarkan tawaran geran kepada penyelidik dan rakan industri untuk membangunkan huraian yang dapat meningkatkan keupayaan produk protein alternatif – dari segi rasa, aroma, tekstur – serta memastikan nilai nutrisinya setara atau lebih baik daripada produk protein konvensional.
Tujuannya supaya produk protein alternatif itu lebih mudah diterima oleh pengguna.
Tawaran geran itu diumumkan oleh Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon, pada 21 November semasa Simposium Sains Agri-Makanan Sejagat di Minggu Agri-Makanan Antarabangsa Singapura (SIAW).
Pada hari pembukaan SIAW pada 18 November, Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Gan Kim Yong, mengumumkan bahawa sekitar $40 juta telah dianugerahkan untuk pelbagai geran di bawah Program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Kisah Makanan Singapura (SFS) setakat pertengahan November.
Ia dianugerahkan kepada projek yang menyasarkan untuk menggunakan alat genetik jitu bagi menghasilkan benih genetik yang sesuai untuk pertanian dalam persekitaran terkawal, membangunkan alat pengurusan penyakit berkesan untuk akuakultur, dan mengurangkan kos pengeluaran daging kultur.
Berucap semasa simposium yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands, Dr Koh berkata Singapura lebih terdedah kepada gangguan bekalan makanan sejagat kerana lebih 90 peratus makanan di negara ini diimport.
“Memanfaatkan kemajuan sains dan teknologi juga akan membantu kita mempertingkatkan keupayaan agri-makanan tempatan dan mewujudkan sistem makanan yang lebih berdaya tahan dan mampan untuk masa depan,” kata Dr Koh.
Tawaran geran terbaru SFA di bawah Program R&D SFS itu memberi fokus pada ‘makanan masa depan’ seperti protein berasaskan tumbuhan, serangga, dan mikrob, lapor The Straits Times.
Sokongan pembiayaan untuk setiap cadangan penyelidikan di bawah tawaran geran itu mencecah sehingga $7 juta untuk tempoh maksimum empat tahun.
Institusi pengajian tinggi dan sektor awam di Singapura boleh mendapat pembiayaan penuh untuk kos berkaitan dengan projek, sementara sektor swasta yang memohon geran penyelidikan, perlu bekerjasama dengan organisasi penyelidikan tempatan yang mendapat pembiayaan awam.
Menurut Dr Koh, SFA sebelum ini menawarkan geran makanan masa depan pada 2023 untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan protein alternatif.
Geran kedua itu pula ditawarkan untuk mencari penyelesaian dalam meningkatkan skala pengeluaran makanan alternatif oleh syarikat tempatan.
Menurut SFA dalam satu kenyataan pada 21 November, industri makanan masa depan mempunyai potensi besar – bagi memastikan skala pengeluaran yang besar dan cekap dari segi kos, huraian inovatif yang dapat meningkatkan rasa dan kena dengan selera pengguna perlu dibangunkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg