Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) melantik firma perunding bagi menjalankan tiga kajian untuk memperdalam keupayaan Singapura dalam aspek keselamatan nuklear, kawal selia dan perlindungan alam sekitar.

Kajian tersebut akan meneliti peraturan antarabangsa serta piawaian alam sekitar bagi kemudahan nuklear; piawaian dan keperluan keselamatan nuklear antarabangsa dan potensi kesan loji tenaga nuklear terhadap alam sekitar, umum NEA dalam satu kenyataan pada 27 Oktober.

Sementara itu, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pula telah melantik panel perunding bagi menyokong proses mengukuhkan keupayaan nuklear.

Panel tersebut akan memberi tumpuan kepada tiga kategori – teknikal dan ekonomi, rangka kerja undang-undang dan kawal selia, serta organisasi – untuk memperkukuh keupayaan Singapura dalam menilai kebolehlaksanaan tenaga nuklear.

Rangkaian inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha lebih meluas pemerintah untuk memperkukuh keupayaan merentasi 19 bidang di bawah Pendekatan Pencapaian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Kini, Singapura sedang bersiap sedia untuk melalui Misi Fasa 1 Semakan Prasarana Nuklear Bersepadu (INIR) IAEA pada 2027.

Singapura belum membuat keputusan mengenai pengerahan tenaga nuklear, tetapi sedang mengkaji kebolehlaksanaan teknologi itu.

Langkah tersebut akan meningkatkan keupayaan Singapura untuk mengambil keputusan termaklum mengenai pengerahan nuklear.

Semasa pembukaan forum IAEA, yang diadakan buat julung kalinya di Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (Siew) 2026 pada 27 Oktober, Dr Tan berkata menceburi program tenaga nuklear merupakan usaha yang rumit.

“Banyak kajian perlu dilakukan sebelum Singapura boleh membuat keputusan termaklum untuk mengerahkan tenaga nuklear.

“Kepakaran perlu diperkukuh merentas pelbagai bidang, daripada pembangunan tenaga kerja, kewangan, penggubalan undang-undang dan pembangunan industri,” jelas Dr Tan.

Penglibatan IAEA setakat ini di rantau ini, termasuk bersama Singapura, telah memacu pembangunan keupayaan tenaga nuklear, kongsinya.

Malah, beliau memberi jaminan bahawa Singapura sedang mengambil pelbagai langkah untuk mengukuhkan pembangunan keupayaan tenaga nuklear tersebut.

Ini termasuk melantik pakar perunding untuk menjalankan kajian dan membentuk panel, masing-masing oleh NEA dan EMA.

Kajian dilancar NEA akan mengukuhkan kepakaran Singapura dalam bidang seperti keselamatan nuklear, kawal selia dan perlindungan alam sekitar dengan memanfaatkan amalan terbaik serta kepakaran antarabangsa.

NEA telah melantik Enconet Consulting Gmbh dari Austria untuk menjalankan kajian mengenai Piawaian Alam Sekitar Kemudahan Nuklear Antarabangsa.

AtkinsRealis Singapore pula akan menjalankan kajian perundingan mengenai keselamatan Nuklear.

Selain itu, Environmental Resources Management (S) dilantik mengkaji pertimbangan kesan loji tenaga nuklear terhadap alam sekitar.

Sementara itu, panel perunding yang dilantik EMA akan menyokong pembinaan keupayaan nuklear Singapura berdasarkan rangka Pendekatan Pencapaian IAEA.

Ini merangkumi aspek teknikal dan ekonomi seperti keselamatan nuklear, pembiayaan dan dana, perlindungan radiasi, pengurusan sisa radioaktif, perancangan kecemasan dan selainnya.

Undang-undang serta dasar pengawalseliaan bagi tenaga nuklear juga akan diteliti, di samping aspek organisasi yang menumpukan kepada pendirian nasional, penglibatan industri, perolehan, sistem pengurusan, pembangunan modal insan serta penglibatan pihak berkepentingan.

Firma perunding yang dilantik EMA:

  • Aecom Singapore
  • Afry Singapore
  • AtkinsRealis Singapore
  • Excel Services Corporation
  • EY Corporate Advisors
  • GNE Advisory
  • Helixos
  • Kellogg Brown & Root Asia Pacific
  • Mott Macdonald Singapore
  • Pinsent Masons Mpillay Llp
  • The Boston Consulting Group
  • WSP Consultancy

Sementara itu, Dr Tan menekankan perlunya kerjasama antara negara bagi memastikan tenaga nuklear dikerahkan dengan selamat, sedang minat terhadap tenaga nuklear di rantau ini semakin meningkat.

Maka itu, Dr Tan mengumumkan bahawa Singapura dan Filipina akan meneroka peluang untuk bekerjasama dalam bidang tenaga nuklear.

Tatkala Singapura bakal menjadi pengerusi ASEAN pada 2027, negara ini akan mempergiatkan kerjasama di peringkat rantau, menerusi Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN dan Rangkaian Kecil Sektor Kerjasama Tenaga Nuklear, tambah Dr Tan.

“

Menceburi program tenaga nuklear merupakan usaha yang rumit...Banyak kajian diperlukan sebelum Singapura boleh membuat keputusan termaklum untuk kerahkan tenaga nuklear...Kepakaran perlu diperkukuh merentas pelbagai bidang
Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng