Pegawai sektor awam dalam pembangunan tenaga Singapura berpeluang meraih pengalaman secara langsung menerusi pendedahan di dalam syarikat tenaga nuklear terkemuka di dunia mulai 2027.

Ini merupakan salah satu daripada empat inisiatif baharu yang diumumkan pada 26 Oktober bagi membina saluran tenaga kerja nuklear yang kukuh.

Dalam satu kenyataan bersama, Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) dan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) akan melancarkan dua lagi program, masing-masing bagi sektor swasta dan pemimpin tenaga antarabangsa.

Inisiatif keempat ialah pelancaran program ijazah sarjana bersama dalam bidang kejuruteraan nuklear yang pertama di Singapura, diterajui oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Semakan tersebut akan membantu menentukan kesiapsiagaan Singapura dalam membuat keputusan termaklum berhubung pelaksanaan tenaga nuklear.

Beliau berkata: “Sekiranya Singapura memutuskan untuk menggunakan tenaga nuklear, pemerintah komited untuk menegakkan piawaian tertinggi bagi keselamatan nuklear, kawalan keselamatan dan perlindungan selaras dengan kewajipan antarabangsa kami.”

Singapura belum memutuskan tentang pengerahan tenaga nuklear, tetapi telah mengukuhkan keupayaan untuk mengkaji sumber tenaga itu sejak lebih sedekad yang lalu.

Sekiranya Singapura tidak mengerahkan tenaga nuklear pada masa depan, Dr Tan percaya keupayaan dan kepakaran yang diasah akan tetap berbaloi, terutama sekali kerana minat terhadap tenaga nuklear di Asia Tenggara dan dunia terus berkembang.

Inisiatif yang pertama – dinamakan Program Pembangunan Tenaga Manusia Nuklear Singapura (NMDP) – tertumpu kepada pegawai sektor awam.

Program tersebut mendedahkan pegawai sektor awam yang terlibat dalam pembangunan tenaga negara kepada jawatan di syarikat nuklear terkemuka di dunia.

Ini merangkumi firma pembinaan dan perolehan, kejuruteraan, teknologi nuklear dan selainnya.

Menerusi pendedahan bersama rakan kongsi NMDP, para peserta akan menimba ilmu dan memperoleh pengalaman dalam aspek penilaian teknologi, pembangunan projek, pelesenan, serta rangka kerja kawal selia, kata EMA dan METI.

Program ini akan bermula pada 2027, dan dilancarkan secara berperingkat dalam beberapa tahun akan datang.

EMA akan menandatangani persetujuan bersama kelompok syarikat rakan kongsi yang pertama di Siew 2026, yang berlangsung dari 26 hingga 30 Oktober di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands.

Ini termasuk syarikat nuklear dan perkhidmatan kejuruteraan AtkinsRealis dari Canada, China National Nuclear Corporation Overseas yang mengeksport teknologi loji kuasa tenaga nuklear serta syarikat reaktor nuklear dan bahan api dari Amerika Syarikat, X-energy.

Skim kedua bagi sektor privet diberi nama Program Pembangunan Tenaga Manusia Nuklear (Industri) (NMDP-I).

Skim ini akan membiayai para pekerja daripada syarikat berpangkalan di Singapura yang dipelawa untuk menyertai program latihan serta penempatan industri bersama rakan kongsi antarabangsa yang dipercayai.

Latihan tersebut akan melengkapi para pekerja dengan keupayaan untuk menyokong syarikat masing-masing dalam memajukan strategi membina keupayaan nuklear, jelas EMA dan METI.

Pemerintah juga akan melancarkan Program Felow Tenaga Masa Hadapan Singapura (SFEF).

Program tersebut akan membawa masuk pemimpin terkemuka dalam sektor tenaga untuk memberi nasihat mengenai strategi tenaga jangka masa panjang Singapura, termasuk dasar tenaga dan teknologi karbon rendah seperti nuklear.

Felow yang dipilih juga akan menyokong pembangunan pemimpin sektor tenaga masa depan menerusi penglibatan berstruktur bersama pemerintah, pihak industri, akademik dan media.

Bagi menyokong persiapan Singapura menjelang Misi Semakan Prasarana Nuklear Bersepadu (INIR) pada 2027, kumpulan pertama felo di bawah SFEF yang dilantik pada tahun ini akan mempunyai kepakaran dalam bidang tenaga nuklear, kata EMA dan METI.

Kumpulan seterusnya mungkin merangkumi pakar dalam bidang penting perancangan tenaga yang lain, termasuk laluan tenaga rendah karbon serta prasarana dan perancangan grid.