Singapura akan memasarkan sektor cipnya ke seluruh dunia di bawah satu inisiatif penjenamaan baharu, SG Semiconductor, dalam usaha menarik lebih banyak penyelidikan dan perkilangan bernilai tinggi.

Pelancaran itu disertai beberapa kerjasama baharu dengan syarikat cip antarabangsa, termasuk Applied Materials dan GlobalFoundries.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng, berkata pada 25 September bahawa SG Semiconductor akan menjadi “satu identiti nasional bersama yang mencerminkan pendekatan terselaras kami dalam bekerjasama dengan industri dan memajukan sektor semikonduktor Singapura”.

Menurut Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star), usaha itu bertujuan memasarkan penyelidikan, perkilangan, prasarana dan bakat Singapura berkenaan cip kepada pelabur serta tenaga mahir antarabangsa sebagai satu hab semikonduktor tunggal yang diselaraskan.

Dibangunkan oleh A*Star dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), SG Semiconductor pada peringkat awal akan digunakan untuk mempromosikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sektor awam.

Ia akan merangkumi tujuh bidang teknologi: pembungkusan termaju, fotonik silikon, elektronik kuasa, galium nitrida frekuensi radio, sistem mikro-elektro-mekanikal piezoelektrik, optik rata dan reka bentuk litar bersepadu.

“SG Semiconductor menyediakan gerbang ke ekosistem Singapura, membolehkan syarikat membangun dan meningkatkan skala teknologi generasi akan datang serta membawanya ke pasaran dari Singapura,” kata Pengarah Urusan EDB, Encik Jermaine Loy.

Ketua Eksekutif (CE) A*Star, Encik Beh Kian Teik, berkata usaha baharu itu mencerminkan tekad untuk memperkukuh R&D dan perkilangan bernilai tinggi di Singapura dalam jangka panjang.

Dalam ucapannya, Dr Tan berkata Singapura menghasilkan kira-kira satu daripada setiap 10 cip dunia dan satu perlima peralatan perkilangan semikonduktor dunia.

Sektor perkilangan pula menyumbang kira-kira 20 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

“Kita tidak boleh memandang ringan kedudukan ini,” katanya.

“Ketika kita mempertingkat kedudukan ekosistem semikonduktor Singapura di persada dunia, marilah membangun bersama kami dan bawa inovasi semikonduktor generasi akan datang dari Singapura ke seluruh dunia,” kata Dr Tan kepada pemimpin industri di Innovate Together, forum tahunan A*Star yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Persatuan Industri Semikonduktor Singapura (SSIA).

Beberapa syarikat cip antarabangsa telah menyahut seruan itu.

Pada forum tersebut, A*Star mengumumkan kerjasama baharu dan diperluas dengan antara lain, Applied Materials, GlobalFoundries, KLA dan Stats ChipPac.

Kerjasama terbesar ialah peluasan makmal bersama Applied Materials dan A*Star ke fasa empat. Dr Tan menyifatkannya sebagai antara pelaburan R&D terbesar oleh kilang peralatan Amerika Syarikat itu di Singapura setakat ini.

Peluasan lima tahun itu akan menyaksikan prasarana, peralatan dan tenaga kerja makmal bersama bertambah dengan ketara.

Menurut Dr Tan, teknologi semikonduktor yang semakin rumit memerlukan penyelidik, jurutera dan teknisyen berkemahiran khusus.

Justeru, pembangunan dan usaha menarik bakat turut menjadi keutamaan.

Dalam tempoh lima tahun lalu, 14 syarikat semikonduktor telah menyertai Program Possiswazah Industri yang melahirkan hampir 100 lulusan.