Singapura dan Luxembourg berhasrat mempererat kerjasama dalam bidang teknologi seperti pengkomputeran kuantum dan kecerdasan buatan (AI), selain komunikasi angkasa serta satelit.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata bidang yang sedang “pesat berkembang dan kritikal” itu merupakan antara sektor yang bakal menyaksikan kededua negara meningkatkan kerjasama.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam jamuan tengah hari rasmi yang dianjurkan untuk rakan sejawatannya dari Luxembourg, Encik Luc Frieden, pada 7 September.

Encik Frieden mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Singapura selaku Perdana Menteri dari 6 hingga 8 September.

Dalam ucapannya, Encik Wong menyifatkan Luxembourg bukan sahaja sebagai rakan kerjasama yang baik, malah mempunyai “jiwa yang sehaluan” dengan Singapura.

Beliau berkata meskipun kededua negara terpisah jauh dari segi geografi, Singapura dan Luxembourg mempunyai banyak persamaan dari segi keadaan semasa serta semangat.

Ini termasuk dua negara itu merupakan negara kecil yang dikelilingi negara jiran yang jauh lebih besar, dan kededuanya mempunyai pasaran domestik terhad dan tidak memiliki sumber semula jadi.

“Namun, kita tidak pernah membiarkan saiz negara menentukan batas cita-cita kita.

“Sebaliknya, kita menjadikan saiz negara yang kecil sebagai dorongan untuk meneroka dunia luar – dengan terus bersikap terbuka kepada dunia, menghubungkan masyarakat dan perniagaan merentas sempadan, serta membina nama baik sebagai rakan kerjasama yang boleh diharap dan dipercayai,” kata Encik Wong yang juga Menteri Kewangan.

Beliau menambah, pendekatan itu membuahkan hasil yang baik apabila kededua negara kini muncul sebagai pusat kewangan dan perniagaan utama, selain menjadi gerbang kepada pasaran lebih besar di rantau masing-masing.

Kata Encik Wong, hubungan ekonomi antara kededua negara juga berkembang pesat.

Luxembourg merupakan pelabur terbesar Kesatuan Eropah (EU) di Singapura, manakala negara itu menjadi destinasi pelaburan kedua terbesar Singapura dalam blok perdagangan tersebut.

Encik Wong berkata jalinan kerjasama luas sedemikian dapat diwujudkan kerana kededua negara berkongsi pandangan dunia yang serupa.

Menurutnya, semua negara, khususnya negara kecil, mampu berkembang maju dalam dunia luas dan saling terhubung yang memudahkan perdagangan, kerjasama serta penghormatan terhadap peraturan antarabangsa.

“Justeru, kita berkongsi kepentingan kukuh untuk mempertahankan keadaan ini, terutama pada saat ia berdepan tekanan semakin hebat,” kata Encik Wong.

Beliau menambah, Luxembourg selama ini menjadi pendukung teguh integrasi Eropah, manakala Singapura pula memperjuangkan integrasi lebih erat dalam Asean.

“Saya percaya kita boleh bekerjasama untuk merapatkan kededua rantau dengan memperkukuh hubungan antara Asean dan EU,” kata Encik Wong.

Kededua negara telah menjalin hubungan diplomatik selama 50 tahun, yang diraikan menerusi lawatan negara Presiden Tharman Shanmugaratnam pada Mac 2025.

Encik Wong berkata Luxembourg baru-baru ini membuka kedutaan tetap pertamanya di Singapura.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai “isyarat kukuh” komitmen negara Eropah berkenaan untuk mempererat hubungan dengan Singapura dan rantau ini.

Berlandaskan persahabatan erat antara kededua negara, Encik Wong berkata beliau berharap dapat bekerjasama dengan Encik Frieden untuk “mencipta lembaran baharu yang lebih berwawasan bagi hubungan Singapura-Luxembourg”.

Pada 8 September, Encik Frieden akan menyampaikan ceramah Singapura ke-48 berjudul, Autonomi Bermatlamat: Eropah dalam Dunia yang Berubah.

Ceramah anjuran Iseas-Institut Yusof Ishak itu akan dikendalikan Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.