Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura mahu naik taraf perjanjian dagang bersama negara Teluk
Turut sokong peningkatan perdagangan, pelaburan bersama Asean; perkukuh kerjasama kemanusiaan
S’pura mahu naik taraf perjanjian dagang bersama negara Teluk
Singapura sedang meneroka untuk meningkatkan kerjasama dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), termasuk melalui penaiktarafan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) GCC–Singapura sedia ada, menurut satu kenyataan bersama oleh Singapura dan Qatar pada 17 September.
Kedua-dua negara juga berhasrat untuk mempertingkatkan aliran perdagangan dan pelaburan antara Asean dengan GCC, termasuk melalui perbincangan yang sedang berlangsung mengenai FTA Asean–GCC.
“Kedua-dua pihak juga berharap dapat memperkukuh kerjasama antara rantau masing-masing pada Sidang Puncak Asean–GCC ketiga semasa tempoh kepengerusian Asean oleh Singapura pada 2027,” menurut kenyataan bersama itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan susulan mesyuarat yang diadakan antara Singapura dengan Qatar di Doha pada 16 September, yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan dan Menteri Negara (Ehwal Luar) Qatar, Sultan Saad Al Muraikhi.
Kedua-dua negara juga bersetuju mempercepatkan usaha bagi memastikan senarai hasil yang ketara dalam bidang seperti daya tahan tenaga dan pembangunan mampan dapat dicapai, sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ke Qatar pada Oktober.
Dr Balakrishnan sedang membuat lawatan kerja ke Qatar dari 16 hingga 17 September untuk mempengerusikan bersama mesyuarat ketiga Mekanisme Pengawasan Pelaksanaan (IMM) di bawah Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi Singapura-Qatar (HLJC).
IMM menyokong usaha HLJC dengan memudahkan tindakan susulan berkala terhadap inisiatif dua hala dan menterjemahkannya kepada hasil yang praktikal.
Dalam mesyuarat IMM ketiga yang diadakan pada 16 September itu, kedua-dua pemimpin meneliti kemajuan kerjasama dua hala serta mengenal pasti peluang untuk memperdalam lagi kerjasama antara Singapura dengan Qatar.
Semasa mesyuarat tersebut, kedua-dua pemimpin turut meneliti kerjasama dalam enam Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWC) yang ditubuhkan di bawah IMM, meliputi bidang teknologi maklumat dan komunikasi, keselamatan, perniagaan, perundangan, kemampanan dan pembangunan sosial.
Pada 16 September, Dr Balakrishnan turut bertemu dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Negara (Ehwal Pertahanan) Qatar, Sheikh Saoud Abdulrahman Al Thani.
“Dalam pertemuan tersebut, mereka membincangkan pelbagai isu, termasuk peluang untuk memperdalam kerjasama dua hala, serta komitmen bersama kedua-dua negara untuk mendukung undang-undang antarabangsa yang berasaskan peraturan,” kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 17 September.
Dr Balakrishnan diiringi Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim serta para pegawai Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Encik Zhulkarnain menyertai mesyuarat itu selepas menamatkan lawatan kerja dua hari ke Kahirah, Mesir, bagi mengukuhkan semula hubungan persahabatan antara Singapura dengan Mesir.
Lawatannya ke Mesir berlangsung sedang kedua-dua negara memperingati ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik pada 2026.
Dalam satu hantaran Facebook pada 16 September, Encik Zhulkarnain menyatakan bahawa beliau telah mengadakan perbincangan yang bermanfaat dengan menteri dan pegawai Mesir mengenai hubungan dua hala, perkembangan serantau, serta kerjasama kemanusiaan.
Semasa lawatan itu, Encik Zhulkarnain turut bertemu Menteri Kesihatan dan Penduduk, Dr Khaled Abdel-Ghaffar; Menteri Perpaduan Sosial, Dr Maya Morsy; dan Penolong Menteri Pertahanan bagi Perhubungan Luar, Mejar Jeneral Walaa Bibers.
Beliau juga bertemu dengan Ketua Pesuruhjaya Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza, Dr Ali Shaath; serta Pemangku Ketua Perwakilan Kedutaan Palestin di Kahirah, Dr Naji Al Naji.
Semasa pertemuan tersebut, Encik Zhulkarnain turut mengambil kesempatan untuk berkongsi mengenai usaha Singapura dalam pembangunan kapasiti dan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kami di Bulan Sabit Merah Mesir atas peranan penting yang mereka mainkan dalam melancarkan penyaluran bantuan ke Gaza, termasuk usaha Singapura sendiri untuk menyokong rakyat Palestin yang terjejas.
“Kami mengesahkan semula komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama, termasuk dalam bidang bantuan kemanusiaan dan bidang-bidang di mana kedua-dua negara boleh menyumbang kepada kestabilan serantau,” kata Encik Zhulkarnain.
