Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, telah bertemu Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty pada 14 September dalam lawatan kerja dua harinya ke negara Timur Tengah itu.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Kementerian Luar Mesir serta ekspatriat dari negara itu dalam kunjungan pengenalan pertamanya ke Kahirah, Mesir sejak dilantik sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar) pada Januari.

“Tahun ini (2026) merupakan tahun yang istimewa memandangkan kita meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik,” kata Encik Zhulkarnain dalam catatan Facebook pada 14 September.

“Saya berharap agar terdapat lebih banyak pertukaran serta peluang kerjasama yang lebih luas pada tahun yang signifikan ini dan pada masa hadapan.”

Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan) bertemu Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty pada 14 September dalam lawatan kerja dua harinya ke negara Timur Tengah itu.
Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan) bertemu Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty pada 14 September dalam lawatan kerja dua harinya ke negara Timur Tengah itu. - Foto MFA

Mengulas tentang pertemuan itu, Encik Zhulkarnain berkata beliau telah mengadakan perbincangan yang baik mengenai hala tuju positif hubungan dua hala kededua negara susulan Lawatan Negara Presiden Tharman Shanmugaratnam pada September 2025.

Lawatan Tuan Presiden pada September 2025 menyaksikan pemeteraian tujuh perjanjian dan memorandum persefahaman (MOU) antara kededua negara dalam pelbagai bidang termasuk jagaan kesihatan, jaminan bekalan makanan dan perkhidmatan sosial.

Dalam kunjungan beliau kali ini pula, Encik Zhulkarnain berkata beliau telah berbincang dengan pihak Mesir tentang cara untuk bekerjasama dalam isu-isu yang menjadi kepentingan bersama bagi Singapura, Mesir dan rantau masing-masing.

Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kiri) bertemu Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty pada 14 September dalam lawatan kerja dua harinya ke negara Timur Tengah itu.
Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kiri) bertemu Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty pada 14 September dalam lawatan kerja dua harinya ke negara Timur Tengah itu. - Foto MFA

Sementara itu, menurut laporan agensi berita The Egyptian Gazette, Encik Abdelatty, turut mengetengahkan peluang bagi mempromosikan pembangunan industri keutamaan di Mesir.

Ini di samping menjemput syarikat Singapura untuk meluaskan pelaburan mereka dan memanfaatkan kelebihan daya saing ekonomi Mesir, terutamanya insentif dan kemudahan yang disediakan di Zon Ekonomi Terusan Suez.

Laporan itu menambah, perbincangan tersebut turut menyentuh perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, terutamanya isu Palestin.

Encik Abdelatty menekankan keperluan untuk beralih ke fasa kedua pelan kedamaian Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Ini termasuk pengunduran tentera Israel dari Semenanjung Gaza, memastikan akses kemanusiaan yang penuh dan berterusan, dan menyokong pemulihan awal serta pembinaan semula.

Encik Zhulkarnain pula menyampaikan penghargaan Singapura atas usaha gigih Mesir dalam mengukuhkan gencatan senjata, melaksanakan persefahaman perjanjian Sharm El-Sheikh, dan memajukan pelan hala tuju berkenaan.

Beliau turut memuji peranan penting Mesir dalam mempermudah penyampaian bantuan kemanusiaan dan pertolongan ke Semenanjung Gaza, tambah laporan itu.

Dalam satu lagi laporan agensi berita itu, Encik Zhulkarnain telah menemui Menteri Kesihatan dan Populasi, Encik Khaled Abdel Ghaffar, di mana mereka telah berbincang mengenai kerjasama dalam menyediakan bekalan perubatan, ubat-ubatan, makanan, dan bahan bantuan keperluan lain ke Gaza melalui Mesir.

Mereka turut membincangkan kemungkinan menubuhkan sebuah pusat bantuan kemanusiaan dan perubatan di Al-Arish untuk berfungsi sebagai hab logistik dan perubatan bagi Gaza, dengan penyelarasan pihak berkuasa yang berkaitan.

Laporan itu menambah, bidang kerjasama lain merangkumi sokongan perubatan kecemasan dan pembinaan keupayaan.

Mesir merupakan negara Arab pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Singapura pada 1965.

Pelaburan langsung Singapura di Mesir kini dianggarkan bernilai kira-kira $530 juta, dengan Mesir merupakan rakan dagang kelapan terbesar Singapura di Afrika.

Encik Zhulkarnain, yang sedang melakukan lawatan kerja ke Kahirah, Mesir dari 14 hingga 15 September, turut ditemani pegawai daripada Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti