Singapura berhasrat untuk memperdalam integrasi dalam kalangan negara anggota Asean serta memperluas kerjasama merentasi rakan dialog tradisional apabila negara itu memegang peranan pengerusi blok serantau berkenaan pada 2027, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Ini termasuk meningkatkan kerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Canada, selain negara di Afrika, Amerika Selatan dan Kepulauan Pasifik, kata Dr Balakrishnan pada 7 Oktober.

Pada sesi Sidang Kemuncak Asia Institut Milken 2026 yang berlangsung di Hotel Four Seasons di Orchard, beliau ditanya oleh moderator merangkap Ketua Eksekutif Institut Milken, Encik Richard Ditizio, mengenai apa yang beliau anggap sebagai kejayaan menjelang pengakhiran penggal Singapura selaku Pengerusi Asean.

Dr Balakrishnan menjawab Singapura menganggap kepimpinannya satu kejayaan sekiranya ekonomi Asean terus berkembang dan lebih bersepadu, serta jika kekuatan sedia ada dapat digembleng sehingga menghasilkan manfaat gabungan yang melebihi keupayaan setiap negara secara individu. 

Di tengah-tengah kerapuhan aturan dunia dan gangguan rantaian bekalan, wujud “peluang keemasan buat kuasa sederhana dan kecil”, dengan syarat negara-negara berkenaan kekal tenang, terus membina rangkaian hubungan, serta berkeupayaan menawarkan huraian yang membina, katanya.

Menteri itu turut menyatakan negara Asean secara bersama membentuk ekonomi keempat terbesar di dunia dan masih mempunyai potensi pertumbuhan besar dalam tempoh 20 tahun mendatang.

Meskipun dalam persekitaran geopolitik yang mencabar, negara di rantau ini telah mencatatkan pertumbuhan pesat pada separuh pertama 2026.

Ini dengan Vietnam mencatat pertumbuhan melebihi 8 peratus, Singapura pada 6.1 peratus, manakala Malaysia dan Indonesia masing-masing merekodkan pertumbuhan melebihi 5 peratus, kata Dr Balakrishnan.

Pada 2025, Taiwan mengatasi China sebagai rakan dagang terbesar Singapura, dengan sektor kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, dan teknologi menyumbang kepada sebahagian besar peralihan ini, jelas beliau.

Sambil menyifatkan fasa ini sebagai permulaan kepada satu lagi ‘zaman kegemilangan’, Dr Balakrishnan menyamakan situasi semasa dengan era revolusi perindustrian lalu, apabila pembinaan landasan kereta api menjadi satu pelaburan besar dan pada masa sama, satu sumber ketidakstabilan yang besar.

“Dalam jangka panjang, apa sahaja ketidaktentuan yang berlaku dalam tempoh singkat ini, kita tahu teknologi berkenaan sedang mengubah landskap ekonomi dan masyarakat.

“Dalam jangka masa panjang, ia tetap memberi pulangan yang baik,” ujarnya.

Terdapat peluang untuk meraih keuntungan berlipat ganda, kata Dr Balakrishnan, dengan syarat negara-negara terlibat dapat bekerjasama bagi menetapkan piawaian antarabangsa dalam bidang baharu seperti AI dan bioteknologi, serta ruang yang dikongsi secara global seperti ruang angkasa. 

Apabila ditanya sama ada masyarakat global hari ini masih mampu merangka peraturan yang benar-benar dipatuhi oleh setiap negara, Dr Balakrishnan berkata perkara itu tidak mustahil, cuma cabarannya jauh lebih sukar.

Beliau turut menegaskan ia amat penting bagi dunia untuk terus mencapai kesepakatan demi menyediakan “sistem brek (kawalan) yang mantap”, supaya dunia dapat terus memecut pantas sambil memanfaatkan potensi besar dalam bidang seperti AI dan biologi sintetik.

“Ini ialah detik yang menyaksikan perubahan besar dan ketidaktentuan.

“Sekiranya kita berjaya melepasi cabaran rumit ini – bukan sahaja Singapura, malah Asean secara keseluruhannya – saya percaya kita mempunyai prospek yang sangat meyakinkan serta potensi amat besar,” kata beliau.