Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantuan kemanusiaan S’pura legakan tekanan penduduk Gaza semasa Ramadan

Feb 12, 2025 | 3:06 PM
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (enam dari kiri), disambut Brigedier Jeneral Juruterbang Hatem Al Khawaldeh, Pengarah Latihan Tentera Udara Diraja Jordan; Brigedier Jeneral Jihad Al-Adwan, Pengarah Keselamatan Sempadan Angkatan Tentera Jordan; Kolonel Murad Al-Heare, Pengurus Pengarah Tentera Udara Diraja Jordan; dan Dr Marwan Al Hennawy, Pengarah Organisasi Perancangan Jordan.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (enam dari kiri), disambut Brigedier Jeneral Juruterbang Hatem Al Khawaldeh, Pengarah Latihan Tentera Udara Diraja Jordan; Brigedier Jeneral Jihad Al-Adwan, Pengarah Keselamatan Sempadan Angkatan Tentera Jordan; Kolonel Murad Al-Heare, Pengurus Pengarah Tentera Udara Diraja Jordan; dan Dr Marwan Al Hennawy, Pengarah Organisasi Perancangan Jordan. - Foto MINDEF

Penyaluran bantuan kemanusiaan Singapura yang ketujuh buat Gaza bertepatan masa sedang penduduk di Gaza dan umat Islam secara umumnya giat membuat persiapan menjelang Ramadan, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.

Mengulas lebih lanjut kepada pihak media mengenai ketepatan bantuan Singapura untuk Gaza di Pangkalan Udara Changi (Timur) pada 12 Februari, beliau berkongsi bahawa bantuan itu akan melegakan sedikit tekanan yang dihadapi penduduk Gaza dek konflik Israel-Hamas tatkala mengharungi Ramadan dengan berlatarbelakangkan status gencatan senjata yang tidak menentu.

Beliau berkata: “Kami berharap dengan bantuan kemanusiaan yang Singapura sediakan, terutama dengan ketibaan Ramadan (pada Mac nanti), bantuan ini dapat memberi kelegaan kepada penduduk Gaza, rakyat Palestin, yang terjejas dengan krisis kemanusiaan semasa.”

Beliau menyatakan demikian susulan sesi ucap selamat jalan kepada anggota yang menghantar bantuan tersebut ke Amman, Jordan, menggunakan pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).

Encik Zaqy menyertai misi ke Amman itu untuk menyerahkan bekalan bantuan Singapura kepada Pertubuhan Amal Jordan Hashemite (JHCO), yang kemudian akan disalurkan ke Gaza.

Turut hadir dalam sesi ucap selamat itu ialah Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang berkata pemerintah akan bekerjasama dengan Yayasan Rahmatan Lil Alamin bagi inisiatif amal semasa Ramadan.

Dr Balakrishnan sebelum ini mengumumkan bantuan kemanusiaan yang ketujuh tersebut dalam sidang Parlimen pada 4 Februari.

Sejak Hamas melancarkan serangan ke atas Israel pada Oktober 2023, hampir sejuta penduduk Gaza memerlukan tempat perlindungan setelah dibedil oleh serangan balas Israel, menukil laporan terkini badan bukan pemerintah Majlis Pelarian Norwegian, Kelompok Tempat Perlindungan, pada Disember 2024.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Ocha) pula, dalam laporan terkini bertarikh 11 Februari, menyatakan bahawa 91 peratus penduduk Gaza atau sekitar 1.95 juta penduduk di wilayah itu diunjurkan menghadapi tahap ketidakjaminan makanan yang tinggi.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkongsi kepada pihak media dalam sesi ucap selamat jalan bagi penyaluran bantuan kemanusiaan Singapura untuk Gaza di Pangkalan Udara Changi bahawa bantuan ini bertepatan dengan persiapan menjelang Ramadan bagi penduduk Gaza.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkongsi kepada pihak media dalam sesi ucap selamat jalan bagi penyaluran bantuan kemanusiaan Singapura untuk Gaza di Pangkalan Udara Changi bahawa bantuan ini bertepatan dengan persiapan menjelang Ramadan bagi penduduk Gaza. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Menurut kenyataan bersama Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Ehwal Luar (MFA), bekalan bantuan sebanyak sembilan tan kali ini merangkumi bekalan perubatan, makanan dan produk kebersihan wanita daripada Kementerian Kesihatan (MOH), Relief Singapore, Caritas Humanitarian Aid and Relief Initiative Singapore (Charis) dan Mercy Relief.

Dengan edisi bantuan terkini, Singapura telah menghulurkan bantuan bernilai lebih $19 juta ke Gaza sejauh ini.

Memberi maklumat terkini pada 9 malam, 12 Februari, Mindef berkata RSAF telah selesai melakukan penghantaran pakej ketujuh untuk Gaza itu dari Singapura ke Jordan.

Kedatangan Encik Zaqy di Pangkalan Udara King Abdullah I di Jordan disambut oleh Brigedier Jeneral Hatem Al Khawaldeh, Pengarah Latihan Angkatan Udara Diraja Jordan; Brigedier Jeneral Jihad Al-Adwan, Pengarah Keselamatan Sempadan Angkatan Bersenjata Jordan; Kolonel Murad Al-Heare, Pengurus Pengarah Angkatan Udara Diraja Jordan, dan Dr Marwan Al Hennawy, Pengarah Program dan Perancangan JHCO.

Encik Zaqy mengucapkan terima kasih kepada anggota perkhidmatan SAF, dan juga rakan-rakan Jordan atas sokongan mereka dalam menjayakan misi itu.

“Selain menghantar bantuan, kami juga tiba di Amman dengan Perancang SAF yang akan berada bersama saya untuk menilai keperluan dan kebolehlaksanaan saluran sumbangan lain untuk meringankan situasi kemanusiaan di Gaza, seperti pengerahan pasukan perubatan.

“Dalam beberapa hari mendatang, kami akan bertemu dengan rakan-rakan Jordan dan Mesir untuk meneroka peluang sedemikian,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg