Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura mesti sedia hadapi aturan dunia baru dalam ketidaktentuan tarif AS

DPM Gan: Jalin kerjasama, pakatan baru dengan negara sefahaman bagi perluas kerjasama dagangan
Apr 17, 2025 | 6:16 PM
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, dalam acara anjuran DBS Bank pada 17 April, yang menghimpunkan para peniaga berkata, melalui kerjasama, ia membuka pelbagai peluang baru bagi perniagaan meneroka pasaran terkini dan memperkukuh rantaian bekalan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, dalam acara anjuran DBS Bank pada 17 April, yang menghimpunkan para peniaga berkata, melalui kerjasama, ia membuka pelbagai peluang baru bagi perniagaan meneroka pasaran terkini dan memperkukuh rantaian bekalan. - Foto DBS BANK

Singapura perlu bersedia menghadapi persekitaran ekonomi dan geopolitik baru yang lebih bersifat perlindungan, arbitrari – tidak berdasar pertimbangan teliti dan sekadar mengikut kehendak hati – serta berbahaya.

Di samping itu, Singapura juga perlu menguruskan kesan persekitaran baru itu terhadap pertumbuhan ekonomi pada 2025, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.

Bercakap dalam satu acara anjuran DBS Bank pada 17 April, Encik Gan berkata Singapura dan rakan-rakan dagangannya di seluruh dunia perlu berdepan dengan perdagangan dan pelaburan yang mungkin lumpuh atau merosot dengan teruk, disebabkan rejim tarif baru oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump. 

Namun, pada masa yang sama, Singapura akan bekerjasama dengan negara yang sefahaman untuk meluaskan lagi kerjasama perdagangan, menjalin pakatan baru dan menambah baik serta memperkukuh sistem perdagangan berbilang hala, lapor The Straits Times.

“Langkah ini akan membuka pelbagai peluang baru kepada perniagaan untuk meneroka pasaran baru dan memperkukuh rantaian bekalan mereka,” katanya.

Singapura, yang pada masa ini tidak mengenakan tarif ke atas import dari Amerika, masih dikenakan tarif asas 10 peratus.

Walaupun tarif jauh lebih tinggi yang diumumkan Amerika untuk negara lain telah ditangguhkan selama 90 hari sehingga Julai, import dari China – rakan perdagangan utama Singapura – dikenakan cukai 145 peratus.

Menurut Encik Gan, tarif asas 10 peratus itu kelihatan tidak boleh dirunding dan mungkin menjadi kadar tarif minimum tetap pada masa hadapan, tanpa mengira imbangan dagangan sesebuah negara, atau perjanjian perdagangan sedia ada dengan Amerika.

Selain tarif asas tersebut, Amerika turut memberi gambaran levi tambahan mungkin diperkenal dalam beberapa minggu atau bulan akan datang, terutama bagi sektor semikonduktor dan farmaseutikal.

Ia merupakan dua sektor yang menyumbang sebahagian besar eksport Singapura dan yang menerima pelaburan besar daripada syarikat berbilang negara (MNC) sejak beberapa tahun lalu.

Oleh itu, ekonomi Singapura dijangka menjadi lebih perlahan dengan ketara dan mungkin mengalami kemelesetan pada 2025 dengan pelbagai kesan negatif bagi pekerjaan dan gaji.

Bagi menyokong perniagaan dan pekerja menangani kesan segera dan jangka panjang daripada tarif baru Amerika, yang telah mencetuskan keadaan pasaran tidak menentu di seluruh dunia dan menjejas ekonomi sejagat, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan penubuhan pasukan petugas pada 8 April.

Encik Gan mempengerusikan Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura, yang akan berkongsi maklumat dengan perniagaan tempatan mengenai perkembangan terkini, di samping memahami cabaran yang mereka hadapi, untuk bertindak balas dengan pantas, serta mengenal pasti peluang yang wujud.

Pasukan tersebut juga akan menilai isu khusus yang dihadapi perniagaan, meneliti sama ada sokongan yang diberikan ketika ini mencukupi, bekerjasama dengan kesatuan sekerja untuk mengurangkan kesan terhadap pekerja dan membantu pencari kerja, serta memperkenal langkah tambahan apabila diperlukan, kata Encik Gan.

Menurut DBS, acara tersebut adalah yang pertama dalam siri interaksi antara pasukan petugas tersebut dengan masyarakat perniagaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg