Satu pakatan pemerintah yang pertama seumpamanya antara Singapura, United Kingdom (UK) dengan Kenya telah dibentuk dengan tujuan menggalak syarikat di ketiga-tiga negara membeli kredit karbon secara sukarela, sebagai sebahagian usaha mengurangkan pelepasan karbon.
Pakatan tersebut, yang dikenali sebagai ‘The Coalition to Grow Carbon Markets’ (Pakatan bagi Mengembangkan Pasaran Karbon), dilancarkan pada 24 Jun semasa Minggu Tindakan Iklim London.
Walaupun ketiga-tiga negara merupakan anggota perintis pakatan tersebut, negara lain turut dipelawa menyertai dan meluaskan lagi gabungan tersebut.
Pakatan tersebut berharap dapat menaik taraf piawaian pasaran karbon sukarela di peringkat sejagat yang kini tidak dikawal selia, lapor The Straits Times (ST).
Panama dan Perancis pada 24 Jun menjadi anggota terbaru pakatan tersebut, manakala Peru pula menyatakan sokongan terhadap usaha tersebut.
Dengan meningkatkan permintaan bagi kredit karbon berintegriti tinggi, pasaran karbon dijangka boleh berkembang sehingga AS$250 bilion ($320.5 bilion) menjelang 2050.
Ini dapat menyokong pembangunan mampan, pertanian, tenaga bersih, serta pemulihan alam semula jadi.
Pelancaran tersebut dibuat beberapa hari selepas Singapura mengeluarkan draf panduan bagi syarikat tempatan yang merancang menggunakan kredit karbon secara sukarela untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih masing-masing.
Syarikat digesa melaksanakan semua kaedah yang boleh diusahakan untuk mengurangkan jejak karbon, sebelum beralih kepada kredit karbon bagi menampung baki pelepasan karbon yang masih ada.
Satu kredit karbon mewakili satu tan karbon dioksida yang disingkirkan dari atmosfera, seperti melalui projek pemulihan ekosistem, atau dihalang daripada dilepaskan ke atmosfera, contohnya dengan memelihara kawasan hutan daripada gejala pembalakan.
Negara seperti Singapura akan membeli kredit karbon bagi memenuhi sasaran iklimnya, manakala negara seperti Kenya boleh menjual kredit karbon yang dihasilkan melalui projek karbon seperti usaha memerangkap karbon dari udara, dan penghasilan ‘biochar’ – proses mengitar semula bahan buangan kayu yang lebih mesra alam.
Terdapat dua jenis pasaran karbon, iaitu pasaran pematuhan, yang dikawal selia pemerintah, dan pasaran sukarela yang membolehkan syarikat membeli kredit karbon.
Penggunaan kredit karbon daripada pasaran sukarela bagi mengimbangi pelepasan karbon, tidak diwajibkan secara undang-undang atau dikawal selia.
Ini telah menimbulkan kritikan terhadap keberkesanan dan mutu kredit karbon, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai amalan greenwashing, iaitu, dakwaan palsu oleh syarikat bahawa produk keluaran mereka mesra alam.
Pasaran karbon secara sukarela semakin mendapat perhatian pada 2023 selepas akhbar, The Guardian, melaporkan lebih 90 peratus kredit karbon hutan hujan tidak menggambarkan usaha pengurangan karbon sebenar.
Susulan itu, harga dan penggunaan kredit karbon semakin merosot.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg