Singapura dan Malaysia mengesahkan semula komitmen bersama untuk mengurus hubungan dua hala yang terjalin antara kededua negara dengan cara membina dan berpandangan jauh ke masa hadapan.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dalam satu hantaran Facebook pada 11 November.
Beliau merujuk pada lawatannya ke Kuala Lumpur bagi bertemu sahabat baiknya, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, di ambang Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-12, yang bakal diadakan di Singapura pada Disember.
Dalam hantarannya, Dr Balakrishnan menyifatkan hubungan Singapura dan Malaysia sebagai tetap kukuh dan berada di landasan yang positif, di samping terus membawa manfaat ketara dan peluang baru untuk rakyat dan perniagaan kededua negara.
Dr Balakrishnan menambah: “Kami mengadakan perbincangan yang bermanfaat dan bermakna sebagai susulan kepada mesyuarat baru-baru ini antara Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa Sidang Kemuncak Asean.”
Dalam satu kenyataan mengenai lawatan Dr Balakrishnan ke Kuala Lumpur pada 11 November, Kementerian Luar Malaysia berkata:
“Sebagai jiran terdekat dan rakan utama dalam Asean, Malaysia dan Singapura terus menikmati kerjasama yang kukuh merentasi pelbagai sektor, sempena dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun ini (2025).
“Kededua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan dua hala bernilai AS$61.4 bilion ($79.9 bilion) dari Januari hingga Ogos 2025, yang mewakili 8.5 peratus daripada jumlah dagangan keseluruhan Malaysia.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg