Hubungan Singapura dengan kededua Palestin dan Israel yang kukuh membolehkan negara ini menghulurkan bantuan apabila termampu dan terus bersikap terus terang kepada kededua pihak, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Palestin dan Israel juga berminat meneliti pengalaman Singapura mencapai perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan bahasa serta kejayaan ekonomi yang dicapai tanpa sumber alam, kata beliau, ketika mengutarakan pandangannya mengenai pelbagai isu semasa berhubung Israel dan Palestin pada akhir lawatan kerja ke Wilayah Palestin dan Israel pada 6 November.
Dr Balakrishnan berkata hubungan Singapura dengan Israel boleh dijejaki kepada hubungan ketenteraan sejak enam dekad lalu.
Hubungan baik antara Singapura dengan Palestin pula berdasarkan berapa perkara, seperti usaha Singapura yang konsisten menyokong huraian dua negara yang dirunding, serta kenegaraan Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komitmen jangka panjang untuk melatih pegawai Penguasa Palestin.
Lebih 800 pegawai awam Palestin telah menerima latihan menerusi Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap), yang kali pertama diumumkan pada 2013.
Malah, Dr Balakrishnan berkata hubungan Singapura dan Israel juga menjadikan negara ini relevan kepada Palestin.
“Palestin menyambut kehadiran kami dengan baik, antaranya kerana Singapura tidak pernah merahsiakan hubungannya dengan Israel… kami mengambil perspektif jangka panjang dan memelihara hubungan yang jujur,” ujar Dr Balakrishnan.
“Kami tidak pernah berkata kami boleh menjadi penyampai pesanan untuk mereka (Palestin)… mereka mempunyai cara sendiri untuk berbuat demikian.
“Namun mereka menyifatkan cara kita berfikir, cara kita berhujah, cara kita mengundi di PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan tindakan kita adalah relevan bagi mereka,” jelasnya yang telah mengadakan lawatan tiga hari ke Ramallah dan Baitulmakdis.
Dr Balakrishnan telah bertemu dan mengadakan mesyuarat dengan pemimpin dari kededua negara secara berasingan.
Di Ramallah, beliau bertemu dengan Perdana Menteri Penguasa Palestin, Dr Mohammad Mustafa, pada 4 November.
Semasa pertemuan itu, Dr Balakrishnan turut menyampaikan undangan peribadi daripada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, kepada Dr Mustafa untuk melawat Singapura secara rasmi.
Dalam kenyataannya pada 4 November, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata Dr Mustafa melahirkan penghargaannya kepada Singapura kerana memberi sokongan sekian lama kepada Penguasa Palestin dan mengalu-alukan hubungan lebih akrab antara rakyat.
Selain itu, Dr Balakrishnan turut bertemu dengan Menteri Ehwal Luar dan Ekspatriat Penguasa Palestin, Dr Varsen Aghabekian; Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa, Dr Estephan Salameh; serta mantan Perdana Menteri, Dr Mohammad Shtayyeh, dalam beberapa pertemuan berasingan.
Beliau turut menyaksikan penyerahan cek bernilai AS$500,000 ($652,000), yang didermakan pemerintah Singapura kepada Program Makanan Sedunia (WFP) untuk menjalankan programnya di Gaza.
Beliau juga mengumumkan dua kursus baru di bawah Etap yang bakal ditawarkan Singapura kepada Penguasa Palestin pada 2026 untuk membina keupayaan pegawainya dalam ekonomi dan keusahawanan digital.
Di Israel pula, Dr Balakrishnan bertemu Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan rakan sejawatannya, Menteri Ehwal Luar Israel, Encik Gideon Sa’ar, pada 6 November.
Selain itu, Dr Balakrishnan juga bertemu Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, yang mana kededua pemimpin itu membincangkan harapan damai yang berkekalan di Timur Tengah, termasuk di Gaza.
“Sejujurnya, harapan kami adalah supaya rakyat Israel dan rakyat Palestin pada satu hari nanti boleh hidup secara aman dan dengan selamat secara berjiran, satu perkembangan yang akan membentuk semula rantau itu dan di luarnya,” kata Dr Balakrishnan.
Selain itu, beliau juga bertemu Speaker Knesset atau Parlimen Israel, iaitu Encik Amir Ohana; Ketua Pembangkang, Encik Yair Lapid; dan Anggota Knesset, Dr Mansour Abbas, Encik Avigdor Lieberman dan Encik Benny Gantz.
Singapura telah menghantar 10 pakej bantuan kemanusiaan bernilai lebih $24 juta untuk membantu warga awam Palestin di Gaza sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023.
Pada hari tersebut, Hamas menyerang Israel dan membunuh 1,200 orang dan menculik lagi 251 individu.
Serangan itu mencetus serangan balas oleh Israel di Gaza, membunuh lebih 68,000 warga Palestin, termasuk kanak-kanak.
Angka ini merangkumi sekitar 200 warga Palestin yang terbunuh selepas gencatan senjata dilaksana pada 10 Oktober 2025, lapor BBC.
Dr Balakrishnan menyifatkan tempoh damai yang wujud semasa fasa pertama gencatan senjata ini sebagai ‘rapuh’, perkataan yang telah digunakannya beberapa kali semasa lawatan ke Timur Tengah ini.
Menurut beliau, kejadian ganas yang kadangkala masih tercetus di Gaza menunjukkan kerapuhan yang boleh mengakhiri gencatan senjata pada bila-bila masa.
Namun, pada masa yang sama, buat julung-julung kalinya sejak peperangan bermula, ada segelintir harapan fasa selanjutnya boleh tercapai, ujar Dr Balakrishnan.
Namun melaksanakan fasa gencatan senjata selanjutnya merupakan cabaran yang rumit dan menimbulkan pelbagai persoalan, tambah beliau.
Beberapa agensi berita pada 5 November melaporkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sedang menyiapkan kenyataan atau persetujuan untuk Majlis Keselamatan PBB, yang antara lain bertujuan mengerahkan angkatan bersenjata berbilang negara ke Gaza untuk mempertahankan perjanjian gencatan senjata.
“Jika ada kenyataan Majlis Keselamatan yang diusul, adakah ia akan diluluskan tanpa veto? Dan respons bagaimanakah yang akan dikemukakan oleh pemimpin Israel, Palestin dan negara-negara Arab dan kuasa besar lain?” kata Dr Balakrishnan, melalui pertanyaan secara retorik.
Dr Balakrishnan turut menimbulkan beberapa lagi cabaran yang perlu ditangani, seperti cara-cara memelihara keamanan, memutuskan sama ada pelucutan senjata akan dilaksana dan menentukan pihak yang berkuasa semasa tempoh peralihan.
Melebihi usaha pemulihan di arena antarabangsa, Dr Balakrishan turut menekankan cabaran besar untuk membangun semula Gaza.
Selain bantuan kemanusiaan segera merupakan makanan dan perubatan, aspek jagaan kesihatan, pendidikan, bekalan elektrik dan prasarana kumbahan juga perlu difikirkan sebelum Gaza dibina semula, ujar Dr Balakrishnan.
Beliau menambah saiz Gaza sekitar separuh saiz Singapura dan membinanya semula adalah satu usaha amat besar.
“Saya tidak jangka masih ada banyak prasarana yang boleh digunakan lagi di Gaza,” ujar beliau.
Sementara itu, Dr Balakrishnan berkata berdasarkan interaksi beliau dengan pemimpin Israel dan Palestin, masing-masing bersikap waspada dalam tempoh gencatan senjata ini kerana sedar keadaan yang tidak diingini masih boleh berlaku.
“Perang ini amat tragis dan menyebabkan kesan kemanusiaan yang dahsyat. Kededua Israel dan Palestin tahu pandangan kami mengenainya. Malah, saya telah memberitahu Israel sedemikian seawal Mac 2024.
“Perang ini telah melampaui batas dan cara ia dilaksanakan… mangsanya, bukanlah sesuatu yang kami persetujui dan kami telah menyampaikan pandangan tersebut kepada kededua pihak dan mereka menganggap serius pandangan kami,” ujar Dr Balakrishnan.
Namun, Singapura dan warga Singapura perlu bersikap rendah hati untuk menerima hakikat, iaitu tiada apa yang boleh kita katakan atau lakukan, yang boleh mengubah sebab peperangan tercetus dan masa depan jangka panjang Timur Tengah.
“Kita boleh memelihara hubungan kita dengan negara-negara yang terlibat dan membantu dengan cara yang membina, tapi jangan sesekali kita menganggap kita boleh menentukan kesudahan sengketa tersebut,” katanya lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg