Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, M’sia, Vietnam jalin perjanjian teroka eksport elektrik boleh diperbaharui

Kerjasama strategik ketengah komitmen majukan integrasi tenaga serantau, percepat usaha penyahkarbonan melalui huraian berdaya maju
May 26, 2025 | 8:23 PM
(Barisan belakang, dari kiri) Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, menyaksikan majlis pertukaran Perjanjian Pembangunan Bersama bagi kerjasama tenaga serantau di luar Sidang Puncak Asean Ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 26 Mei.
(Barisan belakang, dari kiri) Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, menyaksikan majlis pertukaran Perjanjian Pembangunan Bersama bagi kerjasama tenaga serantau di luar Sidang Puncak Asean Ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 26 Mei. - Foto MDDI

Singapura, Malaysia dan Vietnam telah menandatangani satu perjanjian bagi kerjasama tenaga serantau untuk meneroka usaha mengeksport elektrik yang boleh diperbaharui dari Vietnam ke Malaysia dan Singapura.

Perjanjian Pembangunan Bersama itu ditandatangani tiga syarikat tenaga utama di negara tersebut – Sembcorp Industries, PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC), dan MY Energy Consortium (sebuah kerjasama antara Tenaga Nasional Berhad dengan Petronas di Malaysia) – di luar Sidang Puncak Asean Ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 26 Mei.

Tiga syarikat itu dalam satu kenyataan bersama berkata kerjasama strategik itu mengetengahkan “komitmen semakin meningkat dalam kalangan pemimpin industri untuk memajukan integrasi tenaga serantau dan mempercepatkan usaha penyahkarbonan melalui huraian yang berdaya maju secara komersial”.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Encik Kok Keong Puah, berkata projek yang diusulkan itu mempunyai potensi menyediakan kapasiti tambahan melebihi projek Sembcorp Utilities (SCU)-PTSC yang telah menerima kelulusan bersyarat daripada EMA pada Oktober 2023 untuk mengimport 1.2 gigawatt (GW) elektrik rendah karbon dari Vietnam ke Singapura melalui kabel bawah laut.

“Cadangan itu membayangkan dua segmen. Pertama, eksport elektrik rendah karbon dari Vietnam ke Malaysia melalui kabel bawah laut.

“Kedua, eksport elektrik rendah karbon dari Malaysia ke Singapura melalui grid darat Malaysia dan sambungan kuasa baru antara Singapura dengan Malaysia.

“Syarikat-syarikat ini akan sama-sama menilai kebolehlaksanaan mengeksport elektrik rendah karbon dari Vietnam ke Malaysia dan Singapura, serta mendapatkan kelulusan yang diperlukan bagi projek tersebut,” kata beliau dalam satu kiriman di laman LinkedIn pada 26 Mei.

Sasaran Singapura adalah untuk mengimport sekitar 6 GW elektrik rendah karbon menjelang 2035, mewakili sekitar sepertiga permintaan tenaga negara itu.

Langkah menghubungkan grid kuasa serantau juga akan menggalak pembangunan tenaga boleh diperbaharui dalam rantau itu dan membuka laluan dalam merealisasikan visi Grid Kuasa Asean, kata tiga syarikat itu.

CEO Kumpulan Sembcorp Industries, Encik Wong Kim Yin, berkata perjanjian itu menunjukkan peranan strategik Singapura sebagai sebuah pusat permintaan dan pemboleh utama import kuasa rentas sempadan untuk menyokong matlamat penyahkarbonannya.

“Kami komited menyokong peralihan rendah karbon Asean melalui prasarana dikongsi dan kerjasama yang diperkukuh,” kata beliau.

Anggota MY Energy Consortium – Presiden/CEO Tenaga Nasional Berhad, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, dan Presiden dan CEO Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik – dalam kenyataan bersama itu berkata:

“Penyertaan Malaysia dalam inisiatif ini mencerminkan komitmen kukuh kami terhadap visi GriD Kuasa Asean, yang bertujuan memperkukuh jaminan tenaga serantau melalui pewujudan sebuah hab transit kuasa.

“Kerjasama tiga pihak ini adalah satu langkah ke hadapan dalam memajukan prasarana hijau transnasional, memanfaatkan potensi tenaga boleh diperbaharui Vietnam, dan menyediakan elektrik stabil, rendah karbon kepada masyarakat dan perniagaan.”

Presiden dan CEO PTSC, Encik Tran Ho Bac, pula berkata pihaknya “menjangkakan pelaksanaan berkesannya akan menandakan satu detik penting – titik permulaan untuk pelaburan tenaga boleh diperbaharui di Vietnam”.

“Cadangan itu membayangkan dua segmen. Pertama, eksport elektrik rendah karbon dari Vietnam ke Malaysia melalui kabel bawah laut. Kedua, eksport elektrik rendah karbon dari Malaysia ke Singapura melalui grid darat Malaysia dan sambungan kuasa baru antara Singapura dengan Malaysia. Syarikat-syarikat ini akan sama-sama menilai kebolehlaksanaan mengeksport elektrik rendah karbon dari Vietnam ke Malaysia dan Singapura, serta mendapatkan kelulusan yang diperlukan bagi projek tersebut.”
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Encik Kok Keong Puah.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg