Hubungan Singapura-Oman berada dalam keadaan baik dan berpotensi mencapai tahap yang lebih tinggi apabila kedua-dua negara memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor.
Ini termasuk pembangunan kapasiti, ekonomi digital, pertukaran budaya dan kerjasama keselamatan, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, dalam satu hantaran Facebook pada 20 Januari.
Dr Maliki, yang sedang berada di Oman bagi lawatan kerja, berkata beliau telah menghadiri perbincangan yang bermanfaat semasa Dialog Strategik Singapura-Oman (SOSD) kedua pada 19 Januari.
Dialog tersebut dipengerusikan bersama oleh Dr Maliki dan Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, bersama rakan sejawat mereka dari Oman, Menteri Ehwal Luar, Encik Sayyid Badr Bin Hamid Bin Hamood Al Busaidi, dan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara, Mejar Jeneral (MG) Idris Bin Abdulrahman Bin Hamoud Al Kindi.
Mengulas lanjut, Dr Maliki berkata:
“Diadakan setiap dua tahun, SOSD merupakan wadah bagi keempat-empat pengerusi bersama untuk menilai perkembangan hubungan dua hala dan merangka hala tuju ke hadapan.
“Saya gembira untuk mengatakan hubungan Singapura-Oman berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk mencapai tahap yang lebih tinggi apabila kita memperkukuh kerjasama merentasi pelbagai sektor.”
Dr Maliki menambah selain daripada SOSD, beliau dan Encik Shanmugam sempat mengadakan pertemuan bersama beberapa wakil berkepentingan di Oman seperti Menteri Pejabat Diraja Oman, Jeneral Sultan Bin Mohammed Al Nomani.
“Kami mengalu-alukan persahabatan erat antara kedua-dua negara dan kerjasama yang lebih mendalam dalam semua sektor,” ujar beliau, yang menambah mereka turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau.
Tambahan itu, Dr Maliki turut bertemu rakan sejawatnya daripada sektor pendidikan – Menteri Pendidikan Tinggi, Penyelidikan dan Inovasi, Dr Rahma Bint Ibrahim Bin Said Al Mahrouqiyah.
Beliau turut menjemput Dr Rahma untuk melawat Singapura dan meneruskan perbincangan mengenai kerjasama dalam sektor pendidikan.
Dr Maliki juga menghadiri Majlis Perasmian Projek Kuasa Suria Bebas Manah II yang dibangunkan oleh SembCorp Industries dengan kerjasama Jinko Power Technology pada 20 Januari.
Dalam pada itu, 2025 juga menandakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Oman.
Dr Maliki serta Encik Shanmugam turut menghadiri sebuah majlis resepsi untuk memperingati ulang tahun tersebut serta bertemu dengan masyarakat Singapura yang berada di Oman pada 19 Januari.
Dalam ucapannya di majlis tersebut, Encik Shanmugam menyentuh mengenai hubungan mesra yang telah berkembang sepanjang tahun berikutan kerjasama erat dalam pelbagai sektor.
SOSD edisi pertama telah diadakan pada 2022 di Singapura, apabila kedua-dua wakil negara Oman itu melakukan lawatan rasmi ke Singapura.
Ketika itu, SOSD dipengerusikan bersama oleh wakil negara yang sama.
Mereka mengadakan perbincangan meluas bagi mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai sektor, termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, akuakultur, pengangkutan dan logistik, serta teknologi komunikasi dan maklumat bagi menyokong Wawasan 2040 Oman.
Mereka juga membincangkan peluang memperdalam kerjasama dalam bidang seperti pembinaan keupayaan, menentang pengganasan dan keselamatan maritim, serta bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan di Timur Tengah dan Asia.
“
Diadakan setiap dua tahun, SOSD (Dialog Strategik Singapura-Oman) merupakan wadah bagi keempat-empat pengerusi bersama untuk menilai perkembangan hubungan dua hala dan merangka hala tuju ke hadapan. Saya gembira untuk mengatakan hubungan Singapura-Oman berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk mencapai tahap yang lebih tinggi apabila kita memperkukuh kerjasama merentasi pelbagai sektor.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg