Pemerintah Singapura telah bersetuju untuk menukar sebidang tanah seluas 8.5 hektar (ha), iaitu Plot A (lihat rajah), di sepanjang Holland Road, dengan sebidang tanah seluas 13 ha di kawasan yang sama, milik Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tanah seluas 13 ha itu (Plot C) merupakan sebahagian daripada kawasan yang lebih besar berkeluasan 21.1 ha, yang terletak berhampiran dengan Kebun Bunga Singapura dan dimiliki oleh keluarga diraja Johor sejak 1800-an.
Baki 8.1 ha tanah itu (Plot B), akan kekal di bawah pemilikan peribadi Tunku Ismail, yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Menurut Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam satu kenyataan bersama pada 10 Jun, pertukaran tanah itu dilakukan agar pembangunan yang dirancang oleh TMJ dapat dijalankan “lebih jauh daripada Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) Kebun Bunga Singapura”.
Kebun Bunga Singapura yang berusia 166 tahun itu merupakan Tapak Warisan Dunia Unesco pertama di Singapura sejak menerima pengiktirafan tersebut pada 2015.
Walaupun pertukaran tanah itu dijangka selesai pada separuh kedua 2025, SLA dan URA menambah bahawa TMJ boleh membangunkan tanah miliknya.
“Kawasan tanah yang akan ditukar mempunyai nilai yang setara.”
“TMJ boleh membangunkan tanah miliknya selepas pertukaran itu... yang sesuai untuk kegunaan kediaman bertingkat rendah dan berketumpatan rendah,” kongsi mereka.
Kawasan tersebut dijangka mempunyai nilai yang setara dengan bidang tanah kediaman lain yang berdekatan disebabkan potensi pembangunan yang serupa.
Sebaliknya, bidang tanah yang terletak lebih jauh, seperti tanah yang akan dipindahkan kepada Singapura, boleh dibangunkan untuk kediaman berkepadatan yang lebih rendah.
Mengulas tentang nilai setara kawasan tanah tersebut dengan lebih lanjut menerusi e-mel, SLA dan URA berkata plot A adalah lebih jauh dari Tapak Warisan Dunia Unesco, Kebun Bunga Singapura, dan bersempadan dengan nisbah tapak kasar (GPR) 1.4 yang sedia ada.
“Oleh itu, ia boleh dibangunkan untuk pembangunan kediaman berintensiti lebih tinggi daripada Plot C,” kata SLA dan URA.
Kediaman berintensiti lebih tinggi bermakna projek kediaman yang mempunyai unit penginapan yang lebih tinggi bagi setiap unit tanah.
Bagaimanapun, sebarang rancangan pembangunan akan tertakluk kepada proses kelulusan yang sewajarnya.
“URA dan agensi-agensi berkaitan akan menilai sebarang permohonan pembangunan dan memastikan bahawa pembangunan yang dicadangkan adalah sensitif terhadap konteks persekitaran kawasan tersebut.
“Sebelum sebarang kerja dimulakan, pembangunan itu akan tertakluk kepada kajian alam sekitar bagi mengurangkan sebarang kesan berpotensi terhadap alam sekitar,” ujar SLA dan URA dalam kenyataan media bersama itu.
Walaupun kerajaan Malaysia dan negeri Johor tidak terlibat dalam rundingan tersebut, pertukaran tanah ini diumumkan seminggu selepas Singapura mengumumkan bahawa ia akan mengambil alih dua bidang tanah kecil berjumlah kira-kira 0.79 ha daripada Malaysia.
Langkah tersebut adalah sebahagian daripada rancangan untuk membangunkan semula Kompleks Pemeriksaan Woodlands, yang merupakan salah satu pintu masuk utama di sempadan darat antara kedua-dua negara.
Sebelum ini, Singapura telah mengutus surat kepada Malaysia pada Mei 2022 dan November 2023 untuk mencadangkan pembelian tersebut.
Kerja-kerja peluasan dijangka bermula pada 2025, dengan fasa pertama dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2032.
Sementara itu, SLA and URA berkongsi bahawa bidang tanah yang diserahkan kepada Singapura akan kekal tidak dibangunkan buat masa ini, meskipun rancangan masa depan bagi kawasan tersebut masih dalam pertimbangan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg