Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura perlu ambil risiko rebut peluang baru dalam pengurusan kekayaan

Hong Tat: Kekalkan piawaian tinggi sambil perkukuh kedudukan sebagai pusat kewangan dipercayai
Jul 9, 2025 | 6:20 PM
Chee Hong Tat, DBS, MAS
Bercakap kepada media selepas lawatan ke DBS, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata Singapura mesti bersedia mengambil beberapa risiko walaupun negara terus berusaha mengekalkan piawaian tinggi serta menjadi pusat kewangan yang cekap dan dipercayai. - Foto ST

Singapura perlu bersedia mengambil risiko tertentu untuk merebut peluang baru dalam sektor pengurusan kekayaan yang kian berkembang.

Demikian inti pati temu bual wartawan bersama Timbalan Pengerusi, Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Chee Hong Tat, pada 9 Julai.

Bercakap kepada media selepas lawatan ke DBS, beliau berkata Singapura mesti bersedia mengambil beberapa risiko meskipun negara terus berusaha mengekalkan piawaian tinggi serta menjadi pusat kewangan yang cekap dan dipercayai.

“Apabila kita bercakap tentang risiko, pendekatan kita adalah berdasarkan kadar risiko yang sepadan, bukan pendekatan tanpa risiko langsung.

“Jika kita terlalu ‘kiasu’, saya rasa kita tidak akan dapat merebut peluang baru,” katanya, merujuk kepada istilah tempatan yang menggambarkan sikap terlalu takut jika terlepas sesuatu peluang.

“Jadi, kita perlu mencari keseimbangan mengekalkan piawaian yang tinggi, tetapi dengan pendekatan yang sepadan dengan tahap risiko, bukan pendekatan sifar risiko.”

Dalam lawatan ke DBS, Encik Chee, yang juga Menteri Pembangunan Negara, bertemu Ketua Pegawai Pelaburan Perbankan Pengguna dan Pengurusan Kekayaan DBS, Encik Hou Wey Fook, serta beberapa pengurus hubungan pelanggan, lapor The Straits Times (ST).

Beliau berkata matlamat mengekalkan piawaian tinggi dalam sektor ini dan memastikan proses yang cekap serta mudah bagi pelanggan bukan sesuatu yang saling bercanggah.

MAS telah bekerjasama rapat dengan rakan industri bagi mencari keseimbangan yang baik antara dua matlamat tersebut, sambil terus menambah baik proses sedia ada.

MAS juga telah memendekkan tempoh permohonan insentif cukai bagi pejabat keluarga dari 12 bulan sebelum ini kepada “dalam tempoh tiga bulan”, jelas Encik Chee.

MAS juga sedang bekerjasama dengan bank swasta untuk meneliti cara mempercepat proses penubuhan dan pembukaan akaun oleh pelanggan, tambahnya.

“Kita masih perlu menjalankan semakan yang sewajarnya,” katanya.

Encik Chee berkata MAS akan bekerjasama dengan pihak industri untuk memberi lebih banyak penjelasan.

Ini bertujuan menjelaskan aspek utama yang perlu diberi tumpuan oleh pihak bank dan pengurus hubungan.

Langkah itu dapat mengelakkan andaian yang mungkin melambatkan proses pembukaan akaun pelanggan.

MAS juga sedang bekerjasama dengan agensi pemerintah lain, termasuk Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), bagi membantu individu bernilai tinggi atau mewah (high-net-worth) yang ingin berpindah ke Singapura supaya mereka dapat meningkatkan pelaburan di sini.

Pendekatan menyeluruh pemerintah ini antara lain boleh menyaksikan Singapura membantu golongan sangat kaya menubuhkan syarikat dan operasi baru di sini, melabur dalam syarikat tempatan, serta berpotensi menyenaraikan syarikat mereka di Bursa Singapura (SGX).

Ini kerana mereka melihat negara ini sebagai “tempat yang dipercayai dan stabil di mana mereka boleh membuat rancangan jangka panjang”, kata Encik Chee.

Kenyataan beliau dibuat susulan pengumuman MAS pada 4 Julai bahawa sembilan institusi kewangan telah dikenakan denda kompaun berjumlah keseluruhan $27.45 juta, susulan pelanggaran peraturan berkaitan kes pengubahan wang haram bernilai $3 bilion pada 2023.

Kesemua sembilan institusi kewangan itu, termasuk UOB, UBS dan Citi, dikenakan denda tersebut atas pelanggaran yang dilakukan.

Kes pengubahan wang haram itu menekankan keperluan berterusan bagi institusi kewangan dan perantara untuk berwaspada, memandangkan Singapura menarik kedua-dua pelabur sah dan pengubah wang haram, kata pengamat.

Beberapa institusi kewangan gagal mengesahkan dengan betul sumber kekayaan pelanggan dan tidak mengambil tindakan susulan terhadap transaksi mencurigakan.

Denda kompaun itu dikenakan oleh MAS atas pelanggaran kawalan dan pematuhan institusi kewangan dalam mencegah pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganasan.

MAS memaklumkan bahawa pelanggaran berlaku akibat pelaksanaan dasar dan kawalan yang “lemah atau tidak tekal”.

Polis juga telah menyiasat kes tersebut dan mengambil tindakan tegas, termasuk merampas dan memulihkan aset bernilai besar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg