Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes ubah wang haram: 9 institusi kewangan didenda $27.45j oleh MAS

Jul 4, 2025 | 7:18 PM
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata lapan daripada sembilan institusi kewangan gagal menyiasat transaksi mencurigakan yang dikesan oleh sistem mereka sendiri.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata lapan daripada sembilan institusi kewangan gagal menyiasat transaksi mencurigakan yang dikesan oleh sistem mereka sendiri. - Foto ST

Cawangan Credit Suisse (Singapura) dan UOB masing-masing dikenakan denda melebihi $5 juta kerana melanggar kawalan antipengubahan wang haram berkaitan kes penggubahan wang haram bernilai $3 bilion pada 2023.

Mereka merupakan sebahagian daripada sembilan institusi kewangan (FI) yang dikenakan denda kompaun berjumlah $27.45 juta oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Pada 4 Julai, MAS mengumumkan denda tersebut dan berkata pihaknya turut mengambil tindakan terhadap 18 individu yang bekerja untuk institusi kewangan berkenaan pada masa itu, lapor The Straits Times (ST).

Credit Suisse, yang telah diselamatkan dan diambil alih oleh UBS pada 2023, dikenakan denda tertinggi sebanyak $5.8 juta. 

Denda itu turut merangkumi pelanggaran dari November 2017 hingga Oktober 2023 berkaitan akaun bank Swiss yang kini tidak beroperasi bagi pelanggan Amerika Syarikat tertentu.

UOB pula dikenakan denda $5.6 juta, manakala UBS dikenakan denda $3 juta.

Institusi kewangan lain termasuk syarikat broker UOB Kay Hian, pengurus aset Blue Ocean Invest, Citibank N.A. Singapura dan Citibank Singapura (secara kolektif dikenali sebagai Citi), serta cawangan Singapura Julius Baer, LGT Bank dan syarikat perkhidmatan dana Trident Trust.

MAS berkata institusi kewangan tersebut tidak melakukan pemeriksaan yang mencukupi terhadap sumber kekayaan pelanggan, walaupun terdapat ketidakselarasan dalam dokumen yang dikemukakan.

Malah, lapan daripada sembilan institusi kewangan gagal menyiasat transaksi mencurigakan yang telah dikesan oleh sistem mereka sendiri.

Kes penggubahan wang haram terbesar di Singapura melibatkan $3 bilion wang tunai dan aset ini membawa kepada penangkapan 10 warga asing dalam beberapa serbuan pada 15 Ogos 2023.

Kesemua sembilan lelaki dan seorang wanita yang berasal dari Fujian, China itu telah dipenjara, diusir keluar dan diharamkan memasuki Singapura semula.

Kumpulan itu mempunyai hubungan dengan beberapa institusi kewangan di sini.

MAS mengambil tindakan terhadap kakitangan institusi kewangan yang terlibat dalam pengurusan hubungan dengan ahli kumpulan tersebut.

Perintah larangan selama tiga hingga enam tahun dikenakan ke atas empat individu dari Blue Ocean Invest, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Eksekutif, Encik Tsao Chung-Yi; Ketua Pegawai Operasi, Cik Wong Xuan Ling; Pengarah Eksekutif dan Pengurus Hubungan, Encik Henry Hsia Lun Wei; serta bekas Pengurus Hubungan, Cik Deng Xixi.

MAS berkata sebagai Pengurus Kanan, Encik Tsao dan Cik Wong, gagal dalam beberapa aspek, termasuk membangunkan dasar yang mencukupi dan memastikan dasar tersebut diaudit dengan betul.

Perintah larangan itu bermaksud mereka tidak dibenarkan mengurus atau memberikan sebarang perkhidmatan institusi kewangan sepanjang tempoh larangan.

Selain itu, MAS juga mengeluarkan teguran kepada tiga pengarah eksekutif dari Trident Trust dan dua bekas ketua pasukan dari UOB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg