Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura perlu terus bina kekuatan sendiri, elak terpaksa pilih antara kuasa besar
Chun Sing: Tanpa kejayaan, keupayaan sendiri, suara Singapura tidak akan didengar mahupun dihormati di persada antarabangsa.
S’pura perlu terus bina kekuatan sendiri, elak terpaksa pilih antara kuasa besar
Singapura mesti sentiasa membina dan memperkukuh keupayaan serta kekuatan negara sendiri agar ia kekal relevan dan tidak terperangkap dalam situasi di mana ia terpaksa memilih pihak dalam kancah persaingan kuasa-kuasa besar dunia.
Menteri Penyelaras Bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, menegaskan bahawa keupayaan berdikari dan kejayaan domestik sesebuah negara adalah syarat utama untuk terus dihormati serta dilibatkan dalam perbincangan antarabangsa.
“Pertama sekali, jangan kita bercakap tentang memilih pihak atau berdiri di tepi. Kita mesti mampu berdiri di atas kaki sendiri terlebih dahulu.
“Jika kita tidak boleh berdiri sendiri, tidak ada guna bercakap tentang memilih pihak, dan tiada siapa yang akan meminta kita berbuat demikian,” kata beliau.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan seorang peserta di Forum Global FutureChina 2026 pada 25 September yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.
Peserta tersebut telah bertanya tentang pendirian Singapura dan bagaimana negara ini harus mengemudi hubungannya dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China tanpa memihak kepada mana-mana negara.
Dalam jawapannya, Encik Chan, yang juga Menteri Pertahanan, menekankan peri pentingnya Singapura memiliki asas kekuatan tersendiri terlebih dahulu.
Menurut Encik Chan, Singapura kerap menerima jemputan untuk menghadiri persidangan antarabangsa seperti Sidang Kemuncak G20 walaupun Singapura bukan ahli pertubuhan tersebut.
Ini, katanya, membuktikan bahawa pandangan dan suara Singapura masih mempunyai wibawa serta nilai di mata dunia.
Namun begitu, beliau mengingatkan agar rakyat Singapura tidak cepat berpuas hati mahupun bersikap tewas.
“Secara jujur, jika Singapura bukan sebuah negara yang berjaya hari ini, siapa yang akan datang ke Singapura untuk membincangkan masa depan bersama kita?
“Justeru, setiap hari kita mesti mencari perspektif dan kekuatan baharu untuk masyarakat kita, dunia luar dan rakan kongsi antarabangsa kita,” tambah beliau.
Mengulas mengenai kelemahan geografi Singapura yang tidak mempunyai kawasan pedalaman, Encik Chan menjelaskan bahawa Singapura telah menterbalikkan konsep tersebut dengan menjadikan seluruh dunia sebagai ruang pengaruhnya.
“Orang lain katakan mereka ada kawasan pedalaman. Jika kita tiada kawasan pedalaman, kita jadikan seluruh dunia sebagai kawasan pedalaman kita.
“Ini adalah jalan kelangsungan hidup kita: Menukar keterbatasan kita menjadi peluang tanpa had,” jelas Encik Chan.