Pulau Tekong, pulau yang kini digunakan tentera Singapura, berpotensi menempatkan terminal gas asli cecair (LNG) ketiga negara ini, loji kuasa gas asli sedia hidrogen, serta kemudahan bagi mengimport elektrik.

Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) pada 6 Oktober memaklumkan ia sedang mengkaji kebolehlaksanaan pembinaan kelompok prasarana tenaga seluas 200 hektar di pulau yang terletak di luar pantai timur laut Singapura itu. 

Langkah ini bertujuan memperkukuh keselamatan tenaga negara serta menyokong peralihan Singapura ke arah sumber tenaga lebih hijau.

Keluasan kawasan itu bersamaan dengan 288 padang bola sepak.

“Permintaan elektrik di Singapura akan terus meningkat seiring dengan perkembangan ekonomi negara. 

“Meskipun EMA sedang mengkaji daya maju pelbagai laluan tenaga, terdapat keperluan untuk membuat perancangan awal bagi prasarana tenaga baharu untuk memenuhi permintaan tenaga jangka panjang kita,” kata EMA.

Singapura kini bergantung kepada gas asli yang diimport – iaitu bahan api fosil – bagi kira-kira 93 peratus daripada keperluan tenaganya.

Negara ini kini dalam proses membina terminal LNG kedua di Pelabuhan Jurong yang dijadual beroperasi menjelang akhir dekad ini.

Terminal LNG pertama Singapura telah mula beroperasi di Pulau Jurong sejak 2013.

Selain itu, Singapura juga sedang meneroka sumber tenaga alternatif, termasuk penggunaan hidrogen sebagai bahan api lebih bersih, serta mengimport elektrik secara langsung dari negara jiran bagi meningkatkan keselamatan tenaga yang mesra alam.

Bagi menilai kebolehlaksanaan pembinaan kelompok tenaga di Pulau Tekong, EMA akan melantik sebuah syarikat perunding menjelang pertengahan 2027, yang berperanan merangka cadangan pelan induk bagi kelompok berkenaan.

Kajian itu dijangka mengambil masa dua tahun.

Menurut dokumen tender yang diterbitkan pada 5 Oktober di portal perolehan pemerintah, GeBiz, kajian tersebut akan menilai kebolehlaksanaan bagi menampung kira-kira enam gigawatt penjanaan kuasa domestik dan dua gigawatt import elektrik menerusi tiga koridor laut yang ditetapkan.

Singapura telah menghasilkan kira-kira 13 gigawatt tenaga elektrik pada separuh pertama 2025.

Setakat ini, Singapura mempunyai 13 projek import elektrik yang sedang dalam perancangan, dengan keupayaan gabungan melebihi sembilan gigawatt.

Projek berkenaan merangkumi tenaga suria, angin dan hidrokuasa dari Malaysia, Indonesia, Kemboja, Vietnam dan Australia.

Kajian itu juga akan meneliti keupayaan menampung antara sembilan dengan 15 kabel telekomunikasi bawah laut menerusi tiga hingga lima koridor laut khas yang menghubungkan kawasan di dalam Pulau Tekong.

EMA akan mengemukakan tiga senario pembangunan kepada syarikat perunding yang dilantik, dengan setiap senario akan memperincikan jenis tenaga, keupayaan dan garis masa pembangunan.

Perunding berkenaan perlu merangka pelan induk bagi setiap senario yang mengenal pasti pendekatan optimum bagi memanfaatkan kawasan seluas 200 hektar itu.

Kajian kebolehlaksanaan tersebut turut merangkumi penilaian terhadap faktor teknikal, kawal selia, alam sekitar, serta pertimbangan penerbangan yang berkaitan dengan cadangan kelompok tenaga itu.

Ketua Pegawai Eksekutif EMA, Encik Puah Kok Keong, berkata sekiranya rancangan di Pulau Tekong itu dilaksanakan, kelompok berkenaan bakal memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga Singapura yang semakin meningkat.

“Tenaga merupakan sumber penting bagi menyokong pembangunan dan pertumbuhan berterusan Singapura.

“Adalah sangat penting untuk kita merancang awal bagi memenuhi keperluan prasarana tenaga masa hadapan kita,” katanya.