Singapura sedang mengkaji kebolehlaksanaan untuk membina loji penyahgaraman keenam bagi meningkatkan keselamatan bekalan airnya.
Agensi air negara, PUB, berkata satu tender akan diadakan pada 26 Disember bagi menjalankan kajian bagi kemudahan tersebut.
Kajian itu, yang dijangka mengambil masa sekitar 10 bulan untuk disiapkan, akan menilai daya maju sebuah loji yang mampu merawat kedua-dua air laut dan air tawar seperti Loji Penyahgaraman Keppel Marina East.
Keupayaan untuk beralih antara kedua-dua jenis air itu akan meningkatkan daya tahan bekalan air Singapura terhadap keadaan cuaca, kata PUB dalam satu kenyataan.
Kajian ini juga akan merangkumi pembangunan pelbagai reka bentuk loji dan penilaian terhadap kebolehlaksanaan teknikal serta daya maju ekonominya, lapor The Straits Times (ST).
PUB berkata ia juga akan meneroka reka bentuk serbaguna yang memaksimumkan penggunaan tanah dan mengurangkan jejak tapak loji baru itu.
“Ini mengambil kira pengajaran daripada loji penyahgaraman sedia ada, seperti menggabungkan bangunan bertingkat yang lebih tinggi dan ruang bawah tanah yang lebih dalam untuk kemudahan rawatan,” katanya.
Sebagai contoh, Loji Penyahgaraman Keppel Marina East mempunyai kemudahan rawatan yang terletak di bawah tanah.
Loji Penyahgaraman Pulau Jurong pula diintegrasikan dengan Kompleks Pelbagai Utiliti Tembusu milik Tuas Power, menjadikannya kira-kira 5 peratus lebih cekap tenaga berbanding loji penyahgaraman konvensional.
Kedua-dua kemudahan itu berkongsi sistem pengambilan air laut dan pelepasan air.
Elektrik yang dijana di kompleks Tuas Power itu juga disalurkan kepada kemudahan penyahgaraman.
Ciri-ciri tersebut menghasilkan penjimatan tenaga tahunan yang mencukupi untuk membekalkan tenaga kepada hampir 1,000 isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Singapura mempunyai empat sumber air, dua daripadanya bergantung kepada jumlah hujan yang turun di kawasan tadahan air.
Sumber-sumber itu termasuk air yang diimport dari Sungai Johor di Malaysia, yang membentuk sebahagian besar air yang digunakan di sini, serta air hujan yang dikumpulkan di saluran air dan takungan Singapura.
Namun, perubahan corak cuaca akibat perubahan iklim membawa risiko gangguan kepada bekalan air.
Dua lagi sumber air yang lebih tahan terhadap perubahan cuaca adalah air terpakai yang dikitar semula, dikenali sebagai NEWater, dan air yang dihasilkan melalui penyahgaraman.
Proses penyahgaraman yang menggunakan kuasa intensif menghasilkan air minuman dengan menolak air laut melalui membran untuk menapis garam dan mineral terlarut.
Justeru, penyahgaraman merupakan kaedah paling mahal untuk menghasilkan air.
Sejak penyahgaraman diperkenalkan di Singapura pada 2005, negara ini telah membina lima loji penyahgaraman.
PUB sebelum ini menyatakan bahawa perancangannya adalah untuk air kitar semula dan penyahgaraman memenuhi sehingga 85 peratus daripada permintaan air masa depan Singapura, yang dijangka dua kali ganda menjelang 2065.
Pada masa ini, permintaan air harian Singapura adalah sekitar 440 juta gelen, mencukupi untuk mengisi 800 kolam renang bersaiz Olimpik.
Loji penyahgaraman Singapura mampu memenuhi sehingga 43 peratus daripada permintaan air semasa, dengan jumlah kapasiti sebanyak 190 juta gelen air.
Jumlah permintaan air di Singapura dijangka meningkat sejajar dengan pertumbuhan industrinya.
Permintaan bukan domestik dijangka menyumbang lebih daripada 60 peratus daripada permintaan air pada 2065, meningkat daripada 55 peratus pada masa ini.
Sementara itu, penggunaan air isi rumah juga meningkat sedikit.
Pada 2024, setiap penduduk menggunakan 142 liter air sehari, meningkat daripada 141 liter pada 2023.
Angka itu setanding dengan penggunaan pada 2017.
Di bawah Pelan Hijau Singapura 2030, matlamatnya adalah untuk mengurangkan penggunaan air isi rumah kepada 130 liter bagi setiap orang sehari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg