Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura peruntuk AS$500j modal konsesi bagi tindakan iklim

Akan sumbang modal konsesi sokong kerjasama rakan kongsi
Nov 12, 2024 | 7:28 PM
Semasa berucap di pelancaran Pavilion Singapura di sidang puncak perubahan iklim tahunan, COP29, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, mengumumkan bahawa Singapura akan mengikrarkan sehingga AS$500 juta sebagai modal konsesi, untuk memadankan sedolar bagi setiap dolar, modal konsesi lain daripada rakan-rakan kongsi.
Semasa berucap di pelancaran Pavilion Singapura di sidang puncak perubahan iklim tahunan, COP29, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, mengumumkan bahawa Singapura akan mengikrarkan sehingga AS$500 juta sebagai modal konsesi, untuk memadankan sedolar bagi setiap dolar, modal konsesi lain daripada rakan-rakan kongsi. - Foto ZAOBAO

Singapura akan memperuntukkan AS$500 juta ($669 juta) juta sebagai modal konsesi untuk menyokong daya usaha pembiayaan bersepadu yang dilancarkan oleh bank pusat pada 2023, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, pada 12 November.

Menurut laporan The Business Times, pemerintah akan memadankan sedolar bagi setiap dolar – sehingga AS$500 juta – daripada modal konsesi yang dikumpul rakan-rakan kongsi lain yang terlibat dalam inisiatif pembiayaan bersepadu, yang dikenali sebagai Kerjasama Pembiayaan Peralihan Asia (Fast-P).

Program pembiayaan gabungan itu menampilkan gabungan geran, pinjaman konsesi dan modal komersial yang direka untuk mengurangkan kos modal.

“Gabungan modal konsesi ini akan digunakan untuk mengumpul modal komersial dan sumber-sumber kewangan lain bagi mempercepatkan aliran modal untuk menyokong peralihan hijau Asia,” kongsi Cik Fu.

Beliau berkata demikian secara maya di pelancaran Pavilion Singapura di sidang puncak perubahan iklim tahunan, COP29.

Inisiatif Fast-P – yang pertama kali dilancarkan di COP28 pada 2023 di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE) – bertujuan menggembleng sehingga AS$5 bilion untuk mengurangkan risiko dan membiayai peralihan tenaga yang boleh diketepikan dan projek hijau di Asia dengan menyatukan rakan kongsi awam, swasta dan dermawan antarabangsa.

Pemerintah berkata ia akan menyumbang modal konsesi untuk menyokong kerjasama rakan kongsi itu, walaupun jumlahnya tidak diketahui pada ketika itu.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) turut mengumumkan pelancaran program hutang prasarana bagi transformasi industri – dana ketiga di bawah daya usaha Fast-P.

Yang pertama ialah perkongsian pelaburan hijau dengan MAS, pelabur negara Temasek, Allied Climate Partners (ACP) dan Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) Bank Dunia; manakala yang kedua melibatkan perkongsian dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Perikatan Tenaga Sejagat untuk Masyarakat dan Planet (GEAPP) untuk membiayai peralihan tenaga di Asia.

MAS juga berkata rangkaian tersebut telah berkembang untuk mempersiapkan penjanaan modal dan penggunaan pada 2025.

Pelabur lain yang telah memulakan perbincangan dan berpotensi bekerjasama dengan Fast-P ialah AIA Group, British International Investment, HSBC, Mitsubishi UFJ Financial Group (MUFG), Nippon Export and Investment Insurance (NEXI), serta Suruhanjaya Eropah (EC) dan bank pembangunan Jerman dan Belanda.

MAS juga berkata dalam kenyataannya bahawa ia telah melibatkan pengurus aset untuk melaksanakan ketiga-tiga program itu di bawah Fast-P.

“Gabungan modal konsesi ini akan digunakan untuk mengumpul modal komersial dan sumber-sumber kewangan lain bagi mempercepatkan aliran modal untuk menyokong peralihan hijau Asia.”
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg