Singapura memperuntukkan tambahan dana sebanyak $115 juta bagi menyokong penyelidikan yang tertumpu pada cabaran pembangunan paling mendesak negara, di samping mencari penyelesaian baharu untuk meningkatkan mutu hidup penduduk.

Antara bidang tumpuan utama termasuk usaha mengoptimumkan ruang terhad, menangani isu haba dan bunyi bising di bandar, serta memperluas penggunaan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

Peruntukan tambahan bagi program penyelidikan dan pembangunan Cities of Tomorrow itu diumumkan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, pada 16 Jun sempena sesi penutup Sidang Kemuncak Bandar Sedunia 2026.

Menurut beliau, bidang penyelidikan tersebut mencerminkan komitmen Singapura membangunkan pengetahuan dan teknologi yang diperlukan bagi mengurus kepadatan bandar tanpa menjejas mutu serta kesejahteraan kediaman penduduk.

Program, Cities of Tomorrow, yang diperkenalkan pada 2017 dengan dana awal sebanyak $150 juta di bawah pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2020 kini menerima suntikan dana terkini berjumlah $115 juta.

Peruntukan di bawah pelan RIE 2030 itu merangkumi tempoh pelaksanaan dari 2026 hingga 2030.

Sebanyak $39.4 juta akan digunakan untuk penyelidikan berkaitan penggunaan ruang darat, laut dan bawah tanah secara lebih cekap.

Kajian tersebut akan meneliti kaedah mengatasi cabaran kos dan teknikal yang menghalang pembangunan ruang bawah tanah yang lebih meluas, selain meneroka kemungkinan mewujudkan ruang baharu di bawah tanah.

Penyelidik juga akan mengkaji cara menjadikan projek penambakan tanah lebih produktif dan menjimatkan kos, di samping meneliti pendekatan alternatif bagi mewujudkan ruang tambahan untuk pembangunan.

Sebahagian daripada geran berkenaan juga akan digunakan untuk mengkaji cara Singapura dapat melindungi ekosistem daratan dan biodiversitinya sambil meneruskan agenda pembangunan negara.

Sebanyak $32 juta lagi akan diperuntukkan bagi penyelidikan yang bertujuan meningkatkan mutu hidup rakyat Singapura.

Tumpuan utama merangkumi kajian tentang bagaimana persekitaran binaan mempengaruhi kesihatan, usaha menggalak gaya hidup aktif, serta pengukuhan hubungan sosial dalam masyarakat.

Penyelidikan itu juga menyokong inisiatif penuaan di tempat tinggal sendiri dan menilai kesan jangka panjang perancangan bandar terhadap kesihatan penduduk.

Selain itu, kajian turut menumpukan pada kesan pencemaran bunyi terhadap kesejahteraan masyarakat dan langkah pengurangan kesannya di bandar padat.

Penyelidikan lain pula akan meneliti bagaimana reka bentuk prasarana dan perancangan bandar mampu meningkatkan keselesaan berhubung isu haba serta membantu negara menyesuaikan diri dengan peningkatan suhu akibat perubahan iklim.

Baki $44 juta pula akan digunakan untuk menyokong visi Singapura sebagai sebuah bandar yang hidup seiring dengan alam semula jadi, dengan tumpuan pada tiga bidang utama.

Pertama, meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap alam semula jadi, hidupan liar dan haiwan peliharaan, serta merangka penyelesaian untuk mengurangkan konflik manusia-hidupan liar.

Kedua, mengkaji bagaimana pokok dapat menjadi lebih berdaya tahan terhadap tekanan iklim seperti cuaca panas dan kemarau, di samping mempertingkat langkah mitigasi risiko penyakit zoonotik.

Ketiga, memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pemodelan dan automasi bagi meningkatkan kecekapan operasi, termasuk proses pemeriksaan serta pemantauan pokok.