Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura peruntuk tambahan $135j bagi perlindungan pantai, daya tahan banjir
S’pura peruntuk tambahan $135j bagi perlindungan pantai, daya tahan banjir
Singapura memperuntuk tambahan dana sebanyak $135 juta bagi memperkukuh perlindungan pantai dan daya tahan terhadap banjir.
Dana baharu itu akan disalurkan kepada penyelidikan bagi menghasilkan penyelesaian dalam tiga bidang utama – meningkatkan kecekapan pembinaan bagi kerja perlindungan pantai pada masa depan; mengoptimumkan penggunaan pintu kawalan pasang surut dan stesen pam di kawasan bandar yang padat; serta mempertingkat penyelesaian digital bagi penyenggaraan ramalan dan pemantauan.
Inisiatif Pembiayaan Daya Tahan Pantai dan Banjir (CFR) yang baharu itu diumumkan oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Goh Hanyan, dalam satu simposium pada 21 Oktober, di Kampus Punggol Institut Teknologi Singapura (SIT).
Beliau menekankan perlunya Singapura bersiap sedia menghadapi banjir di kawasan pedalaman akibat perubahan iklim.
Menurutnya, apabila hujan lebat berlaku serentak dengan kenaikan paras laut atau lonjakan air laut akibat ribut, air hujan yang berlebihan mungkin tidak dapat disalurkan dengan berkesan, sekali gus menyebabkan banjir merebak lebih jauh ke kawasan pedalaman.
Beliau menambah, saluran keluar air utama memerlukan longkang yang lebih lebar, pintu kawalan pasang surut dan stesen pam bagi menguruskan hujan lebat dalam keadaan sedemikian.
Oleh itu, penyelidikan diperlukan bagi meneroka sistem yang “lebih padat, cekap tenaga dan mudah diselenggara supaya dapat ditempatkan dalam ruang pesisir pantai Singapura yang terhad”.
Berucap di simposium tahunan Institut Perlindungan Pantai dan Daya Tahan Banjir (CFI) Singapura, Cik Goh menambah pihak berkuasa akan “meneroka cara kemudahan ini boleh disepadukan dengan ruang hijau dan kegunaan awam, supaya langkah perlindungan banjir ini bukan sekadar prasarana yang mempunyai satu fungsi, malah dapat dinikmati orang ramai”.
Menurut beliau, pembiayaan baru itu turut menyokong penyelidikan dalam dua bidang lain.
Bidang pertama melibatkan penerokaan kaedah pembinaan yang memerlukan kurang tenaga kerja, memendekkan tempoh pembinaan, mengurangkan penggunaan tanah serta menggunakan bahan mampan seperti sisa kitar semula.
Bidang kedua pula memberi tumpuan kepada usaha mempertingkat penyelesaian digital melalui penggunaan penderia yang saling berhubung dan peralatan kawalan jauh bagi menyediakan amaran awal serta menjalankan penyelenggaraan ramalan.
Agensi air negara, PUB, berkata ia akan mula membuka permohonan bagi cadangan penyelidikan dalam bidang tersebut mulai 2027.
Peruntukan tambahan sebanyak $135 juta itu merupakan sebahagian daripada dana $37 bilion yang diperuntukkan bagi kegiatan penyelidikan di Singapura dari 2026 hingga 2030, di bawah pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2030 (RIE2030).
Dana tersebut adalah tambahan kepada peruntukan awal sebanyak $125 juta yang disalurkan bagi menubuhkan Program Penyelidikan Perlindungan Pantai dan Pengurusan Banjir pada 2023.
Sehingga kini, PUB telah membiayai 27 projek di bawah program tersebut.
Lapan daripada projek berkenaan menerima pembiayaan pada 21 Oktober.
Salah satu projek itu bertujuan menggabungkan struktur perlindungan pantai konvensional dengan habitat semula jadi seperti hutan bakau dan batu karang, yang dapat membantu melindungi kawasan pesisir pantai di samping memberi manfaat kepada ekosistem.
Satu lagi projek pula meneroka penggunaan benteng perlindungan pantai modular (bahagian atau komponen berasingan yang boleh dipasang, dialihkan atau dibuka) yang boleh dipasang dengan pantas ketika kecemasan atau sewaktu tembok laut kekal sedang dibaiki.
Cik Goh menambah “perlindungan pantai bukanlah usaha yang dilakukan sekali sahaja”.
“Ia merupakan proses berterusan untuk belajar dan melakukan penambahbaikan seiring dengan perubahan keadaan dan peningkatan pengetahuan kita.
“Penyelidikan kekal sebagai tonggak penting dalam perjalanan kita menyesuaikan diri dengan perubahan iklim,” katanya.