S’pura sebagai pusat utama modal pertumbuhan: Cadangan siap jelang akhir 2027

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura sebagai pusat utama modal pertumbuhan: Cadangan siap jelang akhir 2027

Feb 13, 2026 | 5:13 PM

S’pura sebagai pusat utama modal pertumbuhan: Cadangan siap jelang akhir 2027

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Chee Hong Tat, modal, pelaburan
Kumpulan Kerja Modal Pertumbuhan dipengerusikan Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.. - Foto ZAOBAO

Satu kumpulan kerja baru yang dibentuk merangka strategi memperkukuh kedudukan Singapura sebagai pusat utama modal pertumbuhan dijangka mengemukakan laporan cadangannya menjelang akhir 2027.

Dinamakan Kumpulan Kerja Modal Pertumbuhan, kumpulan kerja tersebut dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, yang juga Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Ia akan dianggotai pihak berkepentingan sektor swasta dan wakil sektor awam, dengan sokongan daripada MAS dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, mengumumkan pembentukan kumpulan kerja itu pada 12 Februari semasa membentangkan Belanjawan 2026.

Memberi perincian lanjut ketika ditemui media pada 13 Februari di Bangunan MAS, Encik Chee berkata:

“Saya berpendapat secara keseluruhannya, Singapura telah menunjukkan prestasi yang baik dalam menyokong perusahaan yang ingin mendapatkan modal pada pelbagai peringkat pertumbuhan mereka, serta syarikat yang mahu memenuhi keperluan pembangunan infrastruktur.

“Namun, jika kita melihat peluang baru yang sedang muncul, dari segi skala potensi yang boleh dibawa oleh peluang tersebut berbanding dengan keupayaan dan sumber sedia ada yang kita miliki, saya fikir masih terdapat beberapa jurang yang perlu dirapatkan.

“Inilah yang diharapkan akan menjadi tumpuan kumpulan kerja tersebut.”

Kumpulan Kerja Modal Pertumbuhan akan mencadangkan langkah-langkah penting bagi menyokong keperluan pembiayaan perusahaan dari Singapura dan rantau ini, pada setiap fasa pertumbuhan mereka.

Ini bakal dicapai dengan memperkasa penjanaan urus niaga, mempermudah pengumpulan dan pengerahan modal, serta memastikan kitar semula modal yang berkesan, jelas MAS dan MTI dalam kenyataan bersama.

Langkah ini juga akan mengukuhkan elemen lain dalam pasaran modal pertumbuhan, termasuk modal teroka, ekuiti persendirian, kredit persendirian, dan aset yang disekuritikan, tambah Encik Chee.

Beliau berkata usaha Kumpulan Semakan Pasaran Ekuiti MAS telah menyemarakkan minat terhadap pasaran awam.

Kumpulan semakan yang ditubuhkan pada Ogos 2024 dan dipengerusikan oleh Encik Chee, akan mengusulkan cara memajukan pasaran ekuiti Singapura, melibatkan pihak berkepentingan awam dan swasta.

Namun, sokongan kini diperlukan untuk perusahaan peringkat awal, sebelum mereka bersedia untuk disenaraikan.

Berdasarkan perbincangan dengan pemain industri, Encik Chee telah mengenal pasti dua bidang yang berpotensi diterokai lebih lanjut.

“Yang pertama ialah membina ekosistem untuk menyokong usahawan, baik dari Singapura mahupun dari rantau sekitarnya, untuk datang ke Singapura, menubuhkan syarikat mereka di sini, dan mendapatkan modal di sini...

“Bidang kedua ialah infrastruktur, kerana di rantau ini akan terdapat banyak pembangunan infrastruktur, dan ini memerlukan modal jangka panjang.

“Saya juga berpendapat bahawa ini sejajar dengan kekuatan kita sebagai hab kewangan yang dipercayai,” tambah beliau.

Beliau menekankan bahawa meskipun kededua bidang itu menjadi antara tumpuan utama, kumpulan kerja kekal terbuka untuk meneroka peluang lain, berdasarkan perundingan lanjut dengan pihak berkepentingan industri.

Antara anggota kumpulan kerja itu termasuk Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang; Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC, Encik Bryan Yeo; Pengarah Urusan MAS, Encik Chia Der Jiun; Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Holdings, Encik Dilhan Pillay; Pengarah Urusan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Encik Jermaine Loy; dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah DBS Group, Cik Tan Su Shan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg