Singapura dan Qatar telah menyatakan kebimbangan serius terhadap situasi di Timur Tengah, khususnya permusuhan yang kembali tercetus melibatkan Amerika Syarikat dan Iran, menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh kedua-dua negara pada 17 September.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan susulan mesyuarat yang diadakan antara Singapura dengan Qatar di Doha pada 16 September, yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan dan Menteri Negara (Ehwal Luar) Qatar, Sultan Bin Saad Al Muraikhi.

“Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan dialog dan diplomasi dalam mencapai penyelesaian yang aman dan berkekalan bagi konflik tersebut, serta memuji usaha diplomatik berterusan Qatar untuk memudah cara dialog dan meredakan ketegangan di rantau itu,” menurut kenyataan bersama itu.

Dr Balakrishnan sedang membuat lawatan kerja ke Qatar dari 16 hingga 17 September untuk mempengerusikan bersama mesyuarat ketiga Mekanisme Pengawasan Pelaksanaan (IMM) di bawah Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi Singapura-Qatar (HLJC)

Beliau diiringi Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri) Encik Zhulkarnain Abdul Rahim serta pegawai daripada Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Semasa mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin turut menyatakan kebimbangan terhadap ancaman berterusan terhadap keselamatan maritim dan perkapalan antarabangsa di rantau ini.

Ini termasuk kebimbangan terhadap serangan oleh kumpulan Houthi ke atas kapal di Laut Merah, yang telah mengganggu perdagangan serta mengancam keselamatan dan kebebasan pelayaran.

Mereka turut menekankan kepentingan memulihkan laluan transit yang selamat, tanpa halangan dan berterusan bagi kapal serta pesawat di Selat Hormuz, iaitu sebuah selat yang digunakan untuk laluan antarabangsa.

“Mereka bersetuju bahawa hak dan kebebasan laluan mesti dihormati dan dipelihara selaras dengan undang-undang antarabangsa sebagaimana yang termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) 1982.

“Keselamatan pelaut dan kapal mesti dipastikan selaras dengan Konvensyen Antarabangsa bagi Keselamatan Nyawa di Laut (Solas),” menurut kenyataan bersama itu.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin juga mengambil maklum tentang kepentingan dan perspektif yang dikongsi oleh Singapura dan Qatar sebagai negara kecil, termasuk mengadakan penyertaan aktif dalam Forum Negara Kecil (FOSS) dan Kumpulan Tadbir Urus Global (3G).

Konflik antara Amerika dengan Iran bermula pada 28 Februari apabila Amerika dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, termasuk sasaran berkaitan program nuklear, peluru berpandu balistik dan infrastruktur ketenteraan.

Iran kemudian membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel, pangkalan tentera Amerika serta beberapa sasaran di rantau Teluk termasuk Bahrain, Kuwait, Qatar, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Oman.

Ketegangan kemudian memuncak di Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik antara Iran dengan Oman yang menjadi laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas dunia.

Iran menutup selat itu susulan peningkatan serangan Amerika, menyebabkan pergerakan kapal komersial terjejas dan menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga serta harga minyak global.

Usaha untuk membuka semula laluan perkapalan itu pernah dibuat susulan gencatan senjata pada Jun, namun persetujuan tersebut gagal bertahan apabila pertempuran kembali tercetus.

Sehingga kini, penyelesaian bagi konflik itu masih belum tercapai memandangkan terdapat pelbagai isu yang masih berterusan berkaitan program nuklear Iran, sekatan ekonomi Amerika dan kawalan terhadap Selat Hormuz.