Topic followed successfully
Go to BHkuS’pura rancang bina 3 loji kuasa gas asli sedia hidrogen baru jelang 2032
S’pura rancang bina 3 loji kuasa gas asli sedia hidrogen baru jelang 2032
S’pura rancang bina 3 loji kuasa gas asli sedia hidrogen baru jelang 2032
Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) sedang membuka tawaran kepada syarikat tenaga untuk membina sehingga tiga loji kuasa baharu yang mempunyai keupayaan hidrogen pada 2031 dan 2032, bagi membantu memenuhi keperluan elektrik Singapura pada masa akan datang.
Ia bermakna menjelang 2032, Singapura akan mempunyai sekurang-kurangnya 11 loji kuasa gas asli dengan keupayaan hidrogen, termasuk empat loji yang telah siap dibina pada 2025.
Pada 29 April, EMA mengundang sektor swasta membina sebuah loji yang akan mula beroperasi pada 2031, dan sehingga dua lagi loji pada 2032.
Setiap loji dijangka mempunyai keupayaan sekurang-kurangnya 600 megawatt (MW), yang mampu membekalkan tenaga kepada sekitar 864,000 unit flat empat bilik selama setahun.
Sejak 2024, semua loji kuasa gas asli baharu mahupun yang dinaik taraf harus mempunyai tahap kecekapan 10 peratus lebih tinggi.
Ia juga perlu mempunyai keupayaan menggunakan sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga hidrogen apabila sumber tenaga rendah karbon tersebut menjadi lebih berdaya maju pada masa akan datang.
Hidrogen dianggap sebagai bahan api bersih kerana tidak menghasilkan sebarang karbon dioksida apabila dibakar.
Sebaliknya, gas asli merupakan bahan api fosil.
Permintaan elektrik Singapura telah meningkat secara berterusan tahun demi tahun, sebahagiannya didorong oleh permintaan tinggi daripada sektor perindustrian dan digital, kata EMA dalam satu kenyataan.
Sektor itu dijangka akan terus berkembang dalam tempoh beberapa dekad akan datang.
EMA meramalkan permintaan tertinggi elektrik Singapura dijangka meningkat antara 2.4 peratus dengan 4.8 peratus setiap tahun dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Permintaan puncak merujuk kepada jumlah penggunaan elektrik tertinggi dalam satu tempoh masa tertentu.
Menjelang 2031, permintaan tertinggi diramalkan mencecah antara 9.6 gigawatt (GW) dengan 11.4GW.
Sebagai perbandingan, permintaan tertinggi Singapura pada 2025 mencatatkan sekitar 8GW.
Buat masa ini, sebanyak 31 loji kuasa sedang beroperasi bagi menjana elektrik negara.
Meskipun Singapura sedang merancang untuk menjadikan campuran tenaganya lebih hijau menerusi langkah mengimport elektrik lebih bersih, meningkatkan penggunaan tenaga suria, dan meneroka tenaga nuklear, EMA berkata loji kuasa gas asli “kekal penting dalam menyediakan bekalan elektrik mencukupi dan stabil bagi memenuhi permintaan”.
Pada separuh pertama 2025, sekitar 93 peratus tenaga elektrik Singapura dihasilkan melalui pembakaran gas asli.
Gas asli dianggap sebagai bahan api peralihan dalam negara ini berusaha untuk menyahkarbonkan sektor tenaganya.
Singapura dijangka akan terus bergantung pada gas asli bagi lebih separuh daripada keperluan penjanaan kuasanya pada 2035.
Pihak yang berminat boleh mengemukakan cadangan mereka selewat-lewatnya pada 24 Jun bagi loji 2031, dan pada 30 September bagi loji 2032.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web EMA.
