Satu strategi nasional yang boleh membentuk dengan lebih baik peranan Karyawan Kesihatan Bersekutu (AHP) dalam sistem penjagaan kesihatan Singapura yang kian berkembang sedang dibangunkan.
Butiran lanjut mengenainya dijangka diumum pada 2025.
Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, mengumumkan demikian dalam persidangan antarabangsa bagi AHP pada 1 November.
Encik Masagos berkata apabila landskap penjagaan kesihatan berkembang, Singapura memerlukan strategi jelas, kepimpinan kukuh dan semangat inovasi untuk memacu profesion kesihatan bersekutu ke hadapan, lapor The Straits Times.
AHP, yang termasuk ahli terapi pekerjaan, pakar penyakit kaki dan pakar radiografi, memainkan peranan penting seiring doktor dan jururawat dalam menyediakan penjagaan menyeluruh kepada pesakit.
Karyawan ini sedang dilibatkan dalam pembangunan strategi nasional untuk membantu mereka “memainkan peranan dalam sistem penjagaan kesihatan kita dengan pemahaman yang sama tentang bidang tumpuan dan perubahan yang diperlukan untuk memenuhi daya utama nasional seperti SG Lebih Sihat dan Sihat Menua SG”, kata Encik Masagos.
Beliau menambah bahawa strategi itu akan membimbing AHP dalam menangani cabaran masa depan dan meningkatkan hasil kesihatan dalam kalangan penduduk.
Butiran lanjut akan dikongsi apabila strategi itu diperkukuh pada 2025.
Profesor Madya Adjung Michael Ong, pengarah kumpulan kesihatan bersekutu di Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), berkata strategi kesihatan bersekutu kebangsaan akan memperkasa karyawan seperti ahli fisioterapi dan ahli psikologi untuk bertugas pada peringkat atas bagi lesen mereka.
“Dengan bekerja pada tahap penuh kebolehan mereka, para karyawan ini boleh membuat keputusan klinikal bebas dan menyediakan penjagaan berkesan dan tepat pada masanya, apabila kesihatan bersekutu berkembang ke dalam persekitaran masyarakat,” kata Profesor Ong.
Persidangan itu dihadiri kira-kira 1,100 karyawan dan pelajar dari lebih 18 negara.
Dianjurkan di Max Atria @ Singapore Expo oleh NUHS dengan kerjasama SingHealth dan Kumpulan Penjagaan Kesihatan Nasional.
Dalam ucapannya, Encik Masagos berkata pemimpin kuat juga diperlukan untuk memajukan profesion AHP dengan berani kerana strategi hanya sebaik mereka yang melaksanakannya.
Beliau menekankan contoh strategi pembangunan kepimpinan bagi sektor farmasi yang direka untuk memupuk pemimpin yang boleh memacu perubahan, mengharungi cabaran dan merebut peluang.
Ada juga keperluan memupuk semangat inovasi dalam memikirkan semula cara menyediakan penjagaan lebih baik.
Encik Masagos memetik contoh pendekatan inovatif dalam penjagaan kesihatan bersekutu, termasuk ‘EatSafe’ SG, satu usaha nasional yang diketuai oleh ahli terapi pertuturan dan pakar diet untuk menyeragamkan istilah bagi kemudahan semua orang yang terlibat dalam penjagaan pesakit mengalami masalah menelan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg